Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Undang-undang tidak dapat selesai isu 'Allah'
Diterbitkan:  Jan 5, 2010 12:45 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kontroversi penggunaan kalimah ‘Allah’ adalah sesuatu yang sensitif yang tidak dapat diselesaikan oleh undang-undang.

"Penyelesaian kontroversi berkenaan kalimah 'Allah' juga tidak boleh dicapai dengan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan," tulis Dr Mahathir dalam blognya hari ini.

"Undang-undang tidak mengambil kira soal sensitif atau tidaknya sesuatu, soal mencetuskan ketegangan dan permusuhan antara penganut agama yang berlainan.

"Undang-undang mengutamakan maksud undang-undang sahaja," tegasnya.

Menurut Dr Mahathir, kontroversi tersebut bermula pada waktu beliau masih menjadi perdana menteri.

"Pendapat kabinet pada masa itu ialah kegunaannya dalam kitab Injil adalah perkara yang sensitif. Perkara yang sensitif seperti ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya merujuk kepada undang-undang.

"Sebagai perbandingan agak mudah dirujukkan perkataan 'kaum pendatang' kepada mahkamah, tetapi ia adalah sesuatu yang sensitif yang tidak dapat diselesaikan oleh undang-undang," tambahnya.

Menurut Dr Mahathir, sebenarnya kalimah 'Allah' tidak terdapat dalam kitab Taurat atau Talmud Hebrew atau kitab Injil Kristian dalam bahasa Latin, Greek atau bahasa-bahasa Eropah.

Tambahnya, nama bagi Tuhan dalam bahasa Yahudi ialah "Yahweh", yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sebagai "Jehovah".

"Dalam kitab Injil, Jesus (Isa) dan God adalah sama. Tidak ada kalimah Allah dalam kitab Injil dalam bahasa-bahasa yang disebut di atas.

"Dalam usaha menerangkan agama Kristian di kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, perkataan God diterjemah kepada 'Allah' supaya mudah difaham oleh pendengar.

"Mungkin juga kalimah 'Allah' dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama.

"Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah. Terjemahan ini salah. Sepatutnya perkataan 'Tuhan' digunakan untuk God.

"Tetapi dalam agama Kristian terdapat konsep 'trinity' yang mana terdapat 'God the Father, God the Son and the Holy Ghost'.

"Jika dalam bahasa Melayu terdapat dalam kitab Injil atau syarahan berkenaan 'Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci'.

"Maka tentulah ini akan ditentang oleh orang Islam. Dalam Islam, Allah tidak ada bapak, tidak ada anak. Ia tidak dilahirkan dan Ia tidak melahirkan sesiapa. Allah hanya satu. Ia tidak boleh disekutu dengan sesiapa," katanya.

Di Amerika Syarikat, kata Dr Mahathir, orang Kristian yang sudah tidak teguh iman  biasa berkata dan menulis, "God is dead".

"Apakah perasaan orang Islam apabila ini diganti dengan 'Allah is dead'?

"Di Semenanjung Malaysia, kita tidak pernah mendengar orang Kristian menggunakan kalimah 'Allah' apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu. Kenapa pula kita sekarang akan mengguna kan kalimah ini?

"Saya harap pihak kerajaan berhati-hati dalam perkara ini supaya negara berbilang agama yang aman ini tidak menjadi tegang dan tidak stabil secara berterusan," tambahnya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan 'Allah" digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald .

Mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa menggunakan kalimah 'Allah' dalam seksyen Bahasa Malaysia, sebagai terjemahan kepada perkataan God.

Perkataan 'Allah' digunakan secara meluas di kalangan suku kaum beragama Kristian di Sabah dan Sarawak, yang sebahagian besarnya bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Sebelum ini, KDN melarang penggunaan perkataan 'Allah' oleh bukan Islam bagi mengelak wujud salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam.

ADS