mk-logo
Berita
Kes Dr Asri ditangguh kepada 3 Mei
Diterbitkan:  Jan 5, 2010 7:13 AM
Dikemaskini: 7:18 AM

Mahkamah Syariah Gombak Timur hari ini menangguhkan perbicaraan kes bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah, kepada 3 Mei depan bagi menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

    

NONE Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad menangguhkannya berikutan permohonan semakan semula oleh pendakwaan berhubung keputusan beliau yang menolak permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

    

"Selepas mendengar keterangan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mengenai isu pemindahan ke Mahkamah Tinggi yang kini sedang disemak, mahkamah membenarkan penangguhan ini.

"Penangguhan ini dibuat supaya dapat diselesaikan dengan segera dan baik demi kebaikan umat Islam secara keseluruhannya,"kata beliau.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Abdul Shukor Abdul Hamid, berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan semakan kehakiman pada 10 Dis lalu berhubung keputusan hakim Mahkamah Rendah Syariah itu.

"Pihak kami memohon kepada mahkamah agar dapat menangguhkan perbicaraan ini sementara menunggu keputusan daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam, manakala esok notis bantahan awal yang dikemukakan oleh pembelaan juga akan didengar," kata Abdul Syukor.

    

Asri yang diwakili peguam bela, Kamar Aniah Kamaruszaman, tidak membantah perkara itu.

    

Pada 18 November lalu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin menolak bantahan secara lisan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dengan berpendapat bahawa Mahkamah Rendah Syariah mempunyai kuasa yang diperuntukkan untuk memutuskan apa jua keputusan.

Asri, 38, tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah kediaman beralamat No. 2 Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang Daerah Gombak, antara 8.10 malam dan 9.45 malam, pada 1 November lepas.

    

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    

Beliau dibebaskan dengan bon jaminan RM3,000 dengan dua penjamin.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS