Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gereja, pondok pengawal sekolah di Taiping dilempar bom api
Diterbitkan:  Jan 10, 2010 1:34 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Dua insiden cubaan membakar berlaku membabitkan gereja All Saints dan sebuah sekolah di Taiping awal hari ini selepas dilempar dengan bom api, kata Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah.

Manakala akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau pula menghantar SMS berita bahawa polis Melaka mengesahkan bahawa Gereja Baptist Melaka di Durian Dauan, telah disembah dengan cat hitam.

taiping arson attack all saints church Di Taiping, tiada kerosakan pada gereja All Saints (foto) yang terletak di Jalan Taming Sari, Taiping itu tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan pada pos pengawal Sekolah Menengah Convent, kata Zulkifli.

Insiden itu hanya disedari penjaga gereja itu pada pukul 7.30 pagi, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Polis yang membuat siasatan selepas menerima aduan, mendapati dua kesan tompok hitam di dinding gereja serta menemui dua botol yang telah pecah dipercayai digunakan dalam kejadian itu, katanya.

taiping arson attack convent secondary school Dalam kejadian di Sekolah Menengah Convent, hanya pos pengawal sekolah tersebut mengalami kerosakan kecil selepas dilempar dengan bom api dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi dan disedari oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit, katanya.

Zulkifli berkata, setakat ini belum ada suspek yang ditahan berikutan insiden itu dan polis sedang menyiasat serta mengambil bahan-bahan bukti yang ditemui di tempat kejadian.

Katanya siasaatan awal polis mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan oleh individu yang nakal dan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada isu yang sedang berlaku sekarang dan bukan dirancang oleh mana-mana organisasi.

Katanya polis memberi perhatian serius dan meningkatkan pemantauan ke atas rumah-rumah ibadat di negeri ini bagi memastikan keadaan terkawal dan menasihatkan orang ramai agar tidak panik.

taiping arson attack all saint church front Sementara itu, menurut wartawan Malaysiakini , Humayun Kabir, Gereja St Louis yang terletak bersebelahan SM Convent juga dibaling dengan botol mengandungi bahan bakar, tetapi hanya mengakibatkan kerosakan kecil.

Bagaimanapun, ketika berita ini ditulis, polis belum mengesahkan insiden di Gereja St Louis itu.

Di MELAKA, Bernama melaporkan polis sedang menyiasat perbuatan melempar cat hitam ke dinding sebuah gereja di Durian Daun, kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Sallehhudin Abd Rahman.

Katanya kejadian itu disedari pihak gereja itu kira-kira pukul 9 pagi dan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah pada pukul 12.30 tengahari.

"Kita melihat kes ini secara serius memandangkan ini adalah isu sensitif, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian di negara ini," katanya kepada pemberita.

Sallehhudin berkata polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihati orang ramai supaya bertenang dengan tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan serta melanggar undang-undang negara.

Sambil meminta polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang cuba menggugat keharmonian kaum yang dinikmati selama ini, beliau mahu semua pemilik rumah ibadat menjaga rumah ibadat masing-masing dan dalam masa sama polis membuat pemantauan.

ADS