Bagi kebanyakan yang memohon MyKad di bandar raya Kuching, hanya memerlukan masa kira-kira lima minit untuk memandu dari rumah mereka ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak di sini.

Selain itu, jika berjalan kaki ke jabatan itu mungkin mengambil masa antara 15 hingga 20 minit.

Kerana itu, sangat menghairankan kenapa majoriti yang memohon MyKad gagal menuntut dokumen pengenalan mereka itu. Ada yang tidak mengambil dokumen itu sejak berbulan-bulan dan ada yang bertahun-tahun.

Berikutan peningkatan jumlah MyKad yang tidak dituntut, JPN mula menghantar sendiri MyKad, MyKid dan MyPR yang tidak dituntut ke rumah-rumah mereka yang tidak mengambilnya, dalam satu operasi bersama, bermula semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) JPN Sarawak Ahmad Khazali berkata JPN, polis, Jabatan Imigresen, RELA dan Jabatan Pertahanan Awam akan pergi dari rumah ke rumah pemilik MyKad yang tidak dituntut itu selepas waktu pejabat untuk menyerahkan MyKad itu.

Pada sidang media semalam, katanya, di Sarawak, antara 2006 hingga tahun lepas, terdapat 19,055 dokumen pengenalan yang tidak dituntut seperti MyKad, MyKid dan MyPR.

Ahmad menggesa mereka yang belum menuntut dokumen mereka supaya memeriksa antaranya di balai polis berhampiran, RELA atau Jabatan Imigresen.

- Bernama