BERITA Malaysiakini

Nik Sapeia dihukum enam bulan penjara

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

kemaskini 2.17pm Pemimpin kanan PPP Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff dijatuhkan hukuman enam bulan penjara selepas didapati bersalah menyembur bahan pemedih mata ke arah Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2006.

nik sapeia nik yusof Mahkamah Majistret Kota Bharu bagaimanapun membenarkan hukuman ke atas ahli perniagaan itu ditangguhkan sementara menunggu selesai proses rayuan.

Selain terhadap mantan perdana menteri, Nik Sapeia, juga dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas ahli parlimen Datuk Ibrahim Ali, dan dua yang lain di perkarangan lapangan terbang Kota Bharu pada pada pagi 28 Julai 2006.

Nik Sapeia, 56, yang kelihatan tenang ketika Azman menjatuhkan hukuman itu, kelihatan tersenyum selepas pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan.

   

Sebaik selesai, Nik Sapeia yang berada di kandang saksi sempat menoleh kepada keluarga dan  penyokongnya yang duduk di galeri awam sambil berkata:  "Sabar kerana masih ada peluang lagi."

   

Sebelum menjatuhkan hukuman penjara itu, Azman berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan awam.

   

"Keputusan ini juga boleh memberi pengajaran  kepada masyarakat," katanya.

   

Peguam Nik Sapeia, Saseedharan Menon, kemudiannya  memohon pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

   

Timbalan Pendakwaraya, Idham Abdul Ghani, bagaimanapun membantah permohonan itu kerana mahkamah  perlu mengambil kira faktor-faktor yang relevan.

"Apa yang dilakukan tertuduh adalah serius  dengan kesalahan yang dilakukannya dan saya membantah  sebarang penangguhan hukuman," katanya.

   

Ketika membuat rayuan, Saseedharan berkata  setiap keputusan perlu mengambil kira kedudukan Nik  Sapeia dalam politik dan masyarakat.

"Tertuduh adalah naib presiden Parti  Progresif Penduduk dan sudah tentu ia menjejaskan nama  baik beliau dari kaca mata masyarakat dan penyokong. Beliau juga dihormati oleh masyarakat kerana  sering membantu mereka tanpa mengira bangsa," katanya.

   

Seorang lagi peguam tertuduh, Zainal Abidin Mustaffa, berkata jika Nik Sapeia dipenjara, sudah tentu kariernya dalam politik dan perniagaan akan musnah.

"Perniagaannya kini sudah terjejas selama hampir tiga tahun dan banyak mengalami kerugian kerana kes ini.

   

"Penjara boleh menghancurkan kariernya, dan jika dikenakan denda, kami memohon jumlah denda sebanyak RM2,000 sahaja," kata Zainal Abidin.

   

Idham pula memohon agar Nik Sapeia dikenakan hukuman penjara kerana kesalahan yang dilakukannya itu sangat serius.

Katanya bahan semburan itu adalah daripada jenis kimia yang berbahaya kerana boleh menyebabkan sakit mata dan bahang panas pada anggota badan.

"Apa yang tertuduh buat adalah sesuatu yang  tidak wajar kerana melakukannya demi kepentingan  sendiri dan dengan itu hukuman denda sahaja adalah tidak memadai," katanya.

   

Nik Sapeia didakwa melakukan perbuatan itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan  Chepa, pada 11 pagi 28 Julai 2006.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan  yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau  denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

   

Selain Dr Mahathir, Nik Sapeia didakwa dengan  sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Datuk Ibrahim  Ali, 58, Mohd Nasir Muda, 48, dan Suberi Sahidan, 50.

   

- Bernama