Dasar pembongkar maklumat dilancarkan hari ini bagi melindungi pekerja dan lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang tampil memberikan maklumat.

Dasar itu dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat bagi membolehkan indivudu mengemukakan aduan mereka menerusi laman sesawang.

Katanya, dasar tersebut akan diperluaskan ke semua organisasi dan badan berkanun di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Bercakap kepada pemberita, Ong berkata, kementeriannya akan menekankan aspek ketelusan dan urustadbir yang baik.

"Kami serius mengenainya, biar cakap serupa bikin," katanya.

Dasar tersebut membabitkan satu garis panduan dan sebuah badan bebas bagi memastikan mereka yang melaporkan perbuatan rasuah dan penyelewengan yang lain, dilindungi.

Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan kakitangan tampil untuk membantu membasmikan rasuah dalam PKA, katanya.

Menurut Ong lagi, dasar pembongkar maklumat ini hanyalah satu langkah dalam perancangannya untuk menyemai ketelusan dan urustadbir yang baik.

Beliau mengakui bahawa pelaksanaan dasar itu ada kaitan dengan pendedahan rasuah membabitkan PKFZ. Beliau bagaimanapun berkata, ianya bukanlah satu-satu faktor dasar tersebut diperkenalkan.

Menteri pengangkutan itu juga mengingatkan semua lembaga pelabuhan bahawa mesti ada pemisahan yang jelas antara pengatur-selia pelabuhan dan operator pelabuhan.

“Kami sedang memantau secara rapi operasi semua pelabuhan tetapi tidak akan campur tangan jika tidak perlu," katanya.

[Baca berita penuh]