Anak ADUN Sg Tiang maut dilanggar kereta
Kanak-kanak 12 tahun yang maut dirempuh kereta semasa melintas jalan di Jalan Kuala Kedah semalam, adalah anak ADUN Sungai Tiang, Suraya Yaacob.
Syed Arif Syed Afandi Barakhbah merupakan pelajar Sekolah Pendidikan Khas Perempa, Alor Star.
Semasa kejadian semalam, identiti kanak-kanak yang dilanggar dan mati di tempat kejadian itu tidak dikenalpasti.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi semalam, sebuah kereta merempuh kanak-kanak itu yang menunggang basikal ketika dia melintas jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sharifah Rodziah, di Alor Star.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Albukhary di Alor Star pada kira-kira pukul 11 pagi ini.
Suraya, yang ditemui di kediamannya di sini enggan memberikan kenyataan atau bercakap dengan pemberita.
Sementara itu, Ketua Trafik Kota Setar DSP Mohd Sham Abdullah berkata pemandu kereta terbabit iaitu seorang wanita berusia 20-an membuat laporan di bahagian Trafik Kota Setar tidak lama selepas kemalangan.
Wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis, katanya.
- Bernama

