Cadangan bagi membincangkan semula enakmen yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain disambut baik oleh beberapa pemimpin Pakatan Rakyat Selangor.

azmin ali pc in parliament 020709 02 Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Azmin Ali berpendapat isu kalimah 'Allah' dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 tidak harus 'disapu di bawah permaidani'.

"Perbincangan ini bukan sahaja harus melibatkan umat Islam sahaja, tetapi wakil-wakil pelbagai pihak yang kompeten dan pelbagai latar belakang agama.

"Barulah wujudnya keharmonian anara pelbagai pihak," kata beliau yang juga naib presiden PKR.

Minggu lalu, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berpendapat enakmen tersebut sudah ketinggalan zaman dan perlu dibuka kepada perbincangan semula.

Khalid memberitahu sidang media bahawa ketika undang-undang itu diluluskan, mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

Selain melarang penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, enakmen yang sudah digubal lebih 20 tahun lalu itu, turut melarang penggunaan 24 kalimah lagi, antaranya ilahi, wahyu, ulama, imam dan nabi.

Ketika dihubungi Malaysiakini Jumaat lalu, Azmin menyarankan perbincangan tersebut mengambil kira pelbagai aspek, merangkumi persoalan hukum agama, bahasa dan sejarah.

ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata, perbincangan menyeluruh harus dilakukan supaya tiada undang-undang yang berbeza digunapakai bagi menyelesaikan masalah penggunaan kalimah Allah di seluruh negara.

"Hukum Allah tidak kenal sempadan (geografi). Kalau tidak ada dalil atau nas kata tidak boleh guna, maka ia terpakai bagi semua tempat," katanya.

Selepas kontroversi penggunaan kalimah Allah, kerajaan, memberikan pengecualian kepada Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang, yang tidak mempunyai enakmen kawalan tersebut, untuk menggunakan kalimah Allah.

roslan sms shahir mohd shahir Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, PAS negeri bersedia terlibat dalam perbincangan tersebut sekiranya terdapat cadangan dan desakan berhubung perkara itu.

"Sebagai kerajaan (Selangor) yang beramanah, kita tidak boleh cakap selesa atau tidak selesa (terhadap enakmen tersebut). Kita pakai apa yang ada.

"Tetapi kalau ada desakan minta dipinda, kita pindalah. Kalau tidak, kita kena berfikiran sebagai sebuah kerajaan," katanya yang juga bekas setiausaha akhbar presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

xavier jayakumar pc 190110 01 Sementara exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar pula berkata, kalau semua pihak bersetuju, perkara itu boleh dibincangkan.

"Kita boleh tengok balik (enakmen tersebut). Undang-undang ini diperkenalkan pada 1988. Sekarang tahun 2010, sudah lebih 20 tahun.

"Sekarang ini keadaan sudah berubah," kata ADUN Seri Andalas itu.

Beliau menolak tanggapan bahawa menilai semula enakmen tersebut merupakan perkara yang sensitif kerana beliau sendiri biasa membincangkan dengan rakan-rakan exco negeri yang lain.

"Kalau kita anggap sensitif, semua (perkara) sensitif," katanya yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu.

lau weng san

Manakala ADUN DAP Lau Weng San pula berpendapat, undang-udang tersebut perlu dibincangkan semula kerana ia mungkin mempunyai kelemahan ekoran ia tidak pernah dikuatkuasakan sebelum ini.

"Sejak diperkenalkan pada 1988, ia tidak pernah dikuatkuasakan sepenuhnya. Ini menunjukkan kemungkinan terdapat kelemahan. Sepatutnya ia sudah boleh dikuatkuasakan," kata ADUN Kampung Tunku itu.