Zulkifli enggan tarik balik aduan polis

   

Anggota parlimen kawasan Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad walaupun telah diminta berbuat demikian oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONE Zulkifli, daripada PKR, berkata beliau akan hanya berbuat demikian jika Khalid daripada PAS, menarik balik kenyataannya yang menyebut Enakmen Agama Islam Negeri Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah ketinggalan zaman, serta memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Hari ini saya telah diminta oleh Datuk Seri Anwar untuk tarik balik laporan itu. Saya jawab tak ada sebab untuk tarik laporan itu, melainkan Khalid tarik balik kenyataan mengenai enakmen tersebut, minta maaf kepada umat Islam dan Sultan," katanya kepada Bernama malam semalam.

Dalam laporan polis yang dibuatnya di balai polis Jalan Masjid India, Sabtu lalu, Zulkifli turut melampirkan kenyataan Khalid dalam satu artikel bertajuk 'Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan zaman' seperti yang disiarkan di laman portal Malaysiakini dua hari sebelum itu.

Dalam artikel tersebut, Khalid dipetik sebagai menyatakan, enakmen agama Islam yang melarang penggunaan nama Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman dengan alasan pada masa undang-undang itu diluluskan mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama Islam begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

Kenyatan Khalid itu merujuk kepada Enekmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

Zulkifli menyifatkan kenyataan Khalid dalam artikel itu sebagai berunsur hasutan dan menghina Sultan Selangor dan Dewan Undangan Negeri itu serta menghina umat Islam secara umumnya.

Mesyuarat Biro Politik Khas

Ekoran tindakannya itu Zulkifli bakal berdepan dengan tindakan disiplin apabila Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, satu mesyuarat Biro Politik Khas akan diadakan hari ini di Ibu Pejabat PKR bagi membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap Zulkifli.

Mengulas tindakan yang akan diambil terhadapnya, Zulkifli berkata PKR mempunyai hak untuk mengambil tindakan sekiranya mereka merasa perlu tetapi beliau juga ada hak untuk mempertahankan tindakannya itu.

Bagaimanapun beliau sedia memberi kerjasama tetapi biro tersebut perlu memanggilnya untuk memberi keterangan sebelum membuat sebarang keputusan, dan hingga kini beliau belum menerima apa-apa notis dan surat daripada parti.

Katanya, Anwar juga tidak memaklumkannya mengenai apa-apa notis, sebaliknya hanya menyebut bahawa kes itu akan dirujuk kepada Biro Politik Khas.

Mengenai desas-desus yang beliau mungkin dipecat daripada parti, Zulkifli berkata: "Cakap-cakap yang mengatakan saya akan dipecat hanyalah spekulasi tetapi jika betul-betul dipecat saya akan bertindak. Saya telah bersedia."

Dalam perkembangan yang sama Zulkifli turut meminta Naib Presiden PAS Selangor Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegur Khalid terlebih dahulu sebelum menyalahkan beliau sepenuhnya.

Katanya, Tuan Ibrahim sepatutnya menegur Khalid berhubung kenyataanya mengenai enakmen tersebut kerana jelas menghina umat Islam dan institusi Raja.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda