'Siasat perobohan hentian teksi Klang'
Pejabat menteri besar Selangor digesa supaya menyiasat isu perobohan hentian teksi Klang pada 20 Januari lalu.
Hentian teksi itu terletak di Lorong Kepayang, di sebelah Stesen Bas Klang lama.
"Adakah sesiapa ingin sabotaj urus tadbir kerajaan tempatan supaya pengundi menjauhi diri dari Pakatan Rakyat?" soal ahli parlimen Klang, Charles Santiago yang membuat gesaan tersebut.
Katanya, ini kerana menurut ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam, Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah berjanji tidak akan meroboh hentian teksi ini.
Manakala Setiausaha Politik kepada menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad juga telah memberi arahan kepada MPK supaya mengemukakan segera laporan mengenainya pada 14 Januari lalu.
"Saya berharap MPK mendedahkan kepada rakyat Klang dan pemandu teksi proses membuat keputusan perobohan ini dan siapakah yang memberi arahan meroboh hentian teksi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pejabat menteri besar harus membuat siasatan sepenuhnya terhadap isu tersebut.
"Saya memandang perobohan hentian teksi ini bukan kejadian tunggal tetapi sebahagian daripada siri usaha kerajaan tempatan untuk menutupi stesen bas klang lama ini sejak Disember 2008.
"Maklumat daripada MPK mengatakan kebanyakan ahli majlis setuju untuk menutup stesen bas klang lama ini dengan alasan ia menyebabkan kesesakan lalulintas dan inilah cara yang paling baik memaksa semua syarikat bas dan teksi pindah ke Klang Sentral.
"Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa kesesakan lalulintas adalah akibat projek naiktaraf jalan FT5 di pusat bandar, (dan) kewujudan stesen bas bukan punca utama.
"Pemaksaan perpindahan dan (tindakan) menutup hentian bas lama, tidak akan menyelesaikan masalah ini kerana kekurangan pengguna bas dan teksi di sekitar Klang Sentral ialah satu hakikat," katanya.

