Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan sama ada mahkamah boleh menghakimi keputusan Pemangku Raja Kelantan menggugurkan Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada senarai pewaris takhta Kelantan, pada Jumaat.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof akan memberikan keputusan sama ada mahkamah merupakan forum yang sesuai bagi mendengar dan menyemak kuasa prerogatif pemerintah.

NONE Dalam perbicaraan hari ini, Hakim Mohamad Ariff meminta Tengku Muhammad Fakhry, yang diwakili peguam K. Shanmuga, untuk mengemukakan isu kebolehbicaraaan, sebelum permohonan boleh diberikan kepada beliau untuk menyemak keputusan Pemangku Raja Kelantan.

Tengku Muhammad Fakhry memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 7 Dis tahun lepas bagi mengetepikan keputusan Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra yang membatalkan pelantikan beliau daripada menganggotai Majlis Perajaan Negeri Kelantan pada 16 Sept 2009.

Menurut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan, majlis itu bertanggungjawab untuk menentukan bakal pengganti Sultan dan memastikan sama ada wujud kekosongan ekoran ketiadaan pemerintah negeri lebih dari setahun.

"Isu yang ada di hadapan saya ialah sama ada mahkamah merupakan forum yang sesuai untuk membuat keputusan tentang pewarisan atau apa-apa yang berkaitan Majlis Perajaan?

"Bolehkah pertikaian ini diadili dan diputuskan oleh mahkamah? Jika anda menyatakan boleh, apakah justifikasinya? soal Hakim Mohamad Ariff.

Peguam K. Shanmuga, yang mewakili Tengku Temenggong Kelantan, itu menjawab: "Ia boleh diadili kerana ia membabitkan tafsiran Perlembagaan (Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan)."

"Kami tidak mencabar Majlis Perajaan, kami mempersoalkan sama ada peruntukan perlembagaan (Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan) telah dipatuhi dan kami berhujah tentang Pemangku Raja tidak mempunyai kuasa untuk mengubah atau meminda keanggotaan Majlis, yang ditubuhkan mengikut perlembagaan itu," kata beliau.

Peguam Datuk Cecil Abraham, yang mewakili Tengku Muhammad Faris Petra, berhujah bahawa perkara itu tidak boleh diadili dan mahkamah tidak boleh campur tangan.

- Bernama