Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Empangan Kelau: Semakan EIA 14 April
Diterbitkan:  Feb 2, 2010 12:43 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 April bagi membuat keputusan permohonan 27 Orang Asli bagi menyemak semula keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan Laporan Kajian Penilai Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek pembinaan Empangan Kelau di Raub, Pahang.

Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali menetapkan tarikh berkenaan apabila kes itu disebut hari ini.

kampung orang asli sungai tesong 120208 houses Pendor Anger dan 26 yang lain, daripada suku kaum Senoi dan Temuan memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 9 Okt 2007, menamakan Ketua Pengarah JAS, kerajaan negeri Pahang dan Malaysia sebagai responden.

Pada 30 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran permohonan kepada mereka untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan JAS itu.

Mereka mendakwa tanah yang terbabit dalam projek itu adalah tanah turun-temurun dan telah mewarisinya sejak zaman nenek moyang mereka untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Selain itu, mereka juga memohon satu deklarasi bahawa tindakan responden meluluskan projek empangan itu telah mengingkari kewajipan fidusiari untuk melindungi, memajukan dan memelihara kebajikan Orang Asli di negara ini.

Kumpulan Orang Asli itu diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin manakala Peguam Persekutuan Kanan Datin Azizah Nawawi mewakili responden.

- Bernama    


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS