Pemuda Umno hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), antaranya berhubung pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri.

Kira-kira 30 anggota pergerakan itu berkumpul di pejabat SPRM negeri di Shah Alam mulai jam 3 petang tadi dengan dipimpin ketuanya Suhaimi Mohd Ghazali.

NONE Mereka membawa sepanduk, antaranya berbunyi "Kebajikan rakyat terabai, rumah urut diutamakan."

Selepas berkumpul selama setengah jam, Suhaimi dan dua exco Pemuda Umno negeri kemudiannya menyerahkan memorandum tiga perkara yang turut melibatkan isu rumah urut dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Suhaimi berkata, Pemuda Umno mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan tersebut bagi menyatakan keraguan terhadap terma pelantikan Anwar.

NONE Katanya, Pemuda Umno juga meminta SPRM menyiasat kewujudan rumah urut sekitar Petaling Jaya yang didakwanya 'tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan' walaupun lesennya telah dibekukan.

Pemuda Umno itu juga meminta SPRM menyiasat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwanya pernah 'menawarkan diri' sebagai pengerusi YBK bagi menyelesaikan kemelut berpanjangannya dengan kerajaan negeri.