Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Debat royalti minyak ditangguh
Diterbitkan:  Feb 11, 2010 12:45 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Debat royalti petroleum yang dijadualkan berlangsung di Kota Bharu Sabtu ini, telah ditangguhkan kerana pihak penganjur tidak menerima pengesahan dua ahli panel yang dijemput.

Mereka ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Penganjur debat tersebut, Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) berkata pegawai pejabat dua menteri berkenaan telah mengesahkan menerima surat jemputan debat.  

Dua lagi ahli panel - exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa dan naib presiden PAS yang juga ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub - telah mengesahkan menyertai debat tersebut.

Walaupun ditangguhkan, kata GEGAR, pihaknya akan berusaha untuk menjayakan program debat tersebut dan akan menetapkan tarikh baru setelah mendapat persetujuan semua ahli panel.  

Sementara itu, GERAK meminta rakyat Kelantan - tanpa mengira di mana sahaja - supaya mengibarkan bendera Kelantan di kereta dan premis kediaman sepanjang bulan Mac 2010 sebagai tanda keprihatinan dan komitmen mereka terhadap tuntutan royalti petroleum.

Dalam satu kenyataan, pengerusi bersama GERAK, Dr Abdul Halim Yusof dan

Mohamad Fauzi Abu Samah berkata, langkah itu bertujuan sebagai:

1. Menandakan sokongan terhadap tuntutan rakyat Kelantan mendapatkan royalti petroleum seperti mana perjanjian tahun 1975 yang telah dimeterai.

2. Menandakan sokongan rakyat Kelantan dalam mendokong semangat Persekutuan Malaysia; dan Kelantan sebagai negeri di bawah Persekutuan hendaklah diberikan hak-hak menurut Perlembagaan, undang-undang dan perjanjian yang telah termerai.

3. Bersempena Hari Keputeraan  Sultan Kelantan yang akan menjelang tidak lama lagi, rakyat Kelantan menzahirkan perasaan kasih dan dekatnya rakyat kepada kepada DYMM al-Sultan.  

"GEGAR menyeru seluruh rakyat negeri Kelantan terus berdoa agar Allah s.w.t mengurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, rahmah dan inayah-Nya kepada DYMM Sultan Kelantan," kata kenyataan itu.

ADS