mk-logo
Berita
Minum arak, 12 dihadapkan ke mahkamah
Diterbitkan:  Feb 11, 2010 11:30 AM
Dikemaskini: 11:34 AM

Dua belas orang, termasuk dua wanita, didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan hari ini atas tuduhan meminum arak di dua buah pusat hiburan di Kuantan ketika operasi Ops Taubat dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) minggu lalu.

Mereka ialah pekerja swasta Maryati Musa, 20; pekerja hotel Normaziah Ahmad, 25; mekanik Faidzrul Ezzat Mohd Isa, 21; pekerja restoran Mohd Ashaari Abdullah, 25; penganggur Wan Mohd Asyraf Firdaus, 20; buruh Mohd Saifulnizal Zulkifli, 29; Mohd Basrizul Ismail, 22, yang bekerja sendiri dan peniaga, Mohd Azizie Jama Huri, 25.

Semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Horoscope Club di Kuantan pada 6 Feb lalu  antara pukul 12 tengah malam dan 2 pagi.

Sementara itu, pengurus Mohamed Fadzil Sharkan, 51; peniaga Nur Effandi Badrul Hisham, 20; eksekutif swasta Mohammad Syahrul Nizam Halim, 28 dan pekerja kilang Fardly Zai, 27, pula didakwa melakukan kesalahan yang sama di pusat karaoke Mega KTV di Jalan Wong Ah Jang di sini antara 12 tengah malam dan 2 pagi pada hari yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa JAIP Azwa Hanim di hadapan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Pahang Muhammad Azhari Abd Rahmad.

   

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Enakmen itu memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya dan sebatan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh dan mereka dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM2,000 dan seorang penjamin. Semua tertuduh membayar wang jaminan itu.

Muhammad Azhari kemudiannya menetapkan 24 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS