MTUC: Jangan swastakan kursus pembantu rumah
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini meminta kerajaan agar tidak menswastakan kursus ‘menyesuaikan diri’ bagi majikan dan pembantu rumah warga asing kerana langkah itu boleh membebankan pekerja.
"Entiti swasta akan mengenakan kos kepada majikan dan majikan akan mengenakannya kepada pekerja mereka,” kata Setiausaha Agungnya, G Rajasegaran.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam bahawa mulai bulan depan, semua majikan dan pembantu rumah warga asing mereka diwajibkan menghadiri kursus separuh hari itu bertujuan meningkatkan perhubungan dan persefahaman antara majikan dan pekerja.
“Kursus itu sepatutnya dijalankan oleh pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan secara percuma. Apa juga kos yang ada patut ditanggung kerajaan yang boleh menggunakan sebahagian daripada levi yang dibayar pekerja asing berkenaan,” katanya.
Rajasegaran berkata, MTUC juga kecewa kerana menteri berkenaan tidak menyentuh mengenai aspek kontrak dalam perhubungan antara majikan dan pekerja.
Sementara itu, difahamkan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur telah mewajibkan semua majikan menandatangani kontrak dengan pekerja mereka sebelum boleh memperbaharui pasport pembantu rumah masing-masing.
Kontrak itu meletakkan gaji minimum RM600 sebulan bersama beberapa syarat lain bagi memastikan layanan yang wajar terhadap pembantu rumah mereka.
- Bernama

