Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tunku Idris dimasyhurkan Tunku Temenggong Johor
Diterbitkan:  Feb 26, 2010 11:17 AM
Dikemaskini: 7:10 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengisytiharkan pelantikan anakanda ketiga baginda, Tunku Idris, sebagai Tunku Temenggong Johor.

Pengisytiharan itu dilakukan Sultan Ibrahim semasa bertitah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar, di Johor Bahru.

"Sempena sambutan hari yang mulia ini, pada fikiran saya, adalah molek untuk saya melantik dan menjadikan anakanda Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor," titah baginda di hadapan kerabat diraja, pentadbir negeri dan seluruh rakyat yang hadir.

Berangkat pada sambutan itu, isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Idris dan kerabat diraja yang lain.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Jamilah Ariffin, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Abdul Latiff Yusof, barisan Exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan, turut hadir.

  

Tunku Idris, 22, yang berkhidmat dengan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) pernah menempa nama dengan mengetuai lintas hormat enam pesawat udara sempena perarakan sambutan kemerdekaan peringkat negeri Perak pada 2007.

Lintas hormat itu menggunakan helikopter EC120 yang diiringi dua helikopter EC120 lain, sebuah pesawat jenis Socata TB10 dan dua buah pesawat Eagle 150B buatan Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS