Ong: Pemilihan dalam 30 hari
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat akur dengan tindakan 21 jawatankuasa pusat (CC) MCA yang meletakkan jawatan mereka hari ini bagi memaksa pemilihan pucuk pimpinan baru parti diadakan.
Menulis dalam
blognya
, Ong mendakwa dia adalah pemimpin pertama meminta pemilihan pimpinan baru diadakan pada 15 Oktober lalu. Bagaimanapun Ong berkata cadangannya itu terpaksa dibatalkan kerana mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.
“Ketika itu, saya mengingatkan semua pihak suapaya berhati-hati berhubung tarikh pemilihan baru dan pastikan kepentingan nparti diutamakan,” katanya.
Menurut Ong, pemilihan pimpinan baru adalah antara penyelesaian demokrasi berhubung kemelut yang melanda pemimpin MCA.
“Saya dan penyokong saya telah lama menjangkakan perkembangan itu (perletakan jawatan oleh CC). Sekarang ini, pemilihan baru mesti diadakan dalam tempoh 30 hari dan kita mesti memastikan pemilihan pemimpin baru dijalankan secara adil dan teratur mengikut proses yang ditetapkan,” katanya lagi.
Ong juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan ahli yang memberikannya kata-kata semangat.
Presiden MCA itu berkata beiau akan berbincang dengan pengikutnya berhubung tindakan susulan dan mengumumkannya dalam masa terdekat.
Pada pemilihan MCA Oktober 2008, Ong dipilih sebagai presiden MCA yang baru dengan menewaskan seorang lagi calon veteran, Datuk Chua Jui Meng.
Dalam pertandingan satu lawan satu itu, Tee Keat mendapat 1,429 undi manakala Chua mendapat 917 undi.

