Undang-undang lebih ketat pastikan kebersihan KL?
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kini menimbang untuk memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat bagi meningkatkan tahap kebersihan bandar raya Kuala Lumpur.
Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Kuala Lumpur perlu mencontohi dasar kebersihan yang diamalkan Singapura sekiranya mahu menjadi bandar raya kelas pertama selain memberikan imej baik kepada pelabur dan pelancong.
"Macam orang Malaysia pergi Singapura, bila di Singapura orang Malaysia takut kena tangkap sebab buang sampah. Tapi bila balik ke Malaysia dia sudah tidak takut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kebersihan Kuala Lumpur 2010, di sini hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan sikap buruk rakyat negara ini dan ia perlu diubah.
Raja Nong Chik berkata, pada masa ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan skuad khas untuk memantau tahap kebersihan harian di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti seperti Chow Kit, Bukit Bintang, Pudu, Brickfields dan Bangsar.
– Bernama

