Kerajaan Kelantan tidak akan mengadakan sebarang rombakan yang melibatkan barisan exco dan kepimpinan utamanya di bawah pentadbiran Datuk Nik Aziz Zik Mat, kata beberapa exco kerajaan negeri.

Exco penerangan, pembangunan maklumat, sains dan teknologi, Dr Mohd Fadhli Hassan dan Abd Fattah Mahmood (pembangunan insan, belia, sukan dan NGO) menegaskan khabar angin berhubung sebarang rombakan adalah tidak benar.

pas information meeting 090110 nik aziz Mereka diminta mengulas dakwaan terbaru di laman-laman blog bahawa rombakan besar akan dibuat di negeri itu bulan depan dan mendakwa nama Nik Aziz (foto) yang lebih 20 tahun memimpin negeri itu dan exco kanan, Datuk Husam Musa tidak tersenarai.

“Tidak betul. Sekarang ini orang serang kami (kerajaan negeri) dari segenap penjuru,” kata Dr Mohd Fadhli.

Sementara Abd Fattah  pula menyifatkan pembawa khabar angin tersebut lebih tahu daripada kerajaan negeri sendiri berhubung hal ehwal pentadbirannya.

“Nampaknya mereka lebih ke depan daripada kami. Tidak ada apa-apa (rombakan). Tidak ada apa-apa,” tegasnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini Dr Mohd Fadhli pula berkata, beliau menasihatkan penulis blog lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat menyebarkan perkara yang tidak betul.

Katanya, walaupun mereka tidak terikat dengan etika kewartawanan seperti yang menjadi amalan pihak media, kumpulan tersebut masih “terikat dengan undang-undang tuhan dan dosa pahala”.

Sementara Abd Fattah pula berkata, penulis blog sepatutnya mengamalkan kebebasan menulis dengan penuh tanggungjawab, termasuk tidak melupakan kepentingan umum ketika menghasilkan sesuatu laporan.

“Saya tidak boleh hendak komen niat mereka. Tetapi biarlah ada prinsip, tulislah yang benar dan baik-baik. Tentang niat (mereka) itu hak masing-masing,” katanya.

Beberapa bulan sebelum ini, berlaku perdebatan hangat berhubung pelapis kepimpinan Nik Aziz apabila seorang lagi exconya Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah secara terbuka menyarankan Nik Aziz menamakan penggantinya.

Menteri besar bagaimanapun dilaporkan berkata berdasarkan hirarki dalam PAS dan kerajaan negeri, timbalan menteri besar, Datuk Ahmad Yaakub merupakan pelapis nombor satunya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini