Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini membalas kenyataan mufti Perlis Dr Juanda Jaya yang mendakwa kes melibatkan perkahwinan kanak-kanak tidak boleh disekat oleh pihak berkuasa.

Pegawai Perhubungan Awam Jakim Asiah Alkharib Shah dalam berkata peruntukan bagi menyekat kes seperti itu telahpun wujud sejak lebih 20 tahun lalu.

"Jakim menegaskan telah wujud peruntukan yang menyekat perkahwinan kanak-kanak bawah umur dalam peruntukan undang-undang syariah yang sedia ada di Malaysia dan peruntukan tersebut telah wujud selama lebih 20 tahun di semua negeri.

"Ini sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 yang secara jelas meletakkan had umur minimum sesuatu perkahwinan," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini .

Tanpa menyebut nama pihak berkenaan, Asiah berkata, golongan berwibawa dalam soal hukum dan undang-undang syariah sepatutnya mahir dalam semua undang-undang syarie yang diamalkan di seluruh negara.

Jelasnya, ini penting bagi mengelakkan individu terlibat daripada mengeluarkan "kenyataan yang tidak berasas" dan juga mengelakkan berlakunya kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Sebaliknya, sesuatu dakwaan dan kenyataan yang ingin dikeluarkan hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada peruntukan undang-undang syariah yang ada di negara ini," katanya lagi.

Asiah menjelaskan, undang-undang hanya membenarkan perkahwinan kepada lelaki berusia lebih 18 tahun dan perempuan lebih 16 tahun, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada hakim syarie berdasarkan keadaan tertentu.

"Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga adalah dinafikan kuasanya untuk mengahwinkan anak dibawah umur.

"Malah, sekiranya pihak penjaga atau ibubapa mengahwinkan anak perempuan mereka tanpa kebenaran mahkamah, satu tindakan boleh diambil ke atas ibubapa," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas dakwaan Dr Juanda yang memetik laporan di blog bahawa terdapat ribuan kes perkahwinan kanak-kanak di negara ini, Asiah berkata ia hanyalah “tuduhan liar yang tidak berasas”.

“Jakim beranggapan ia sebagai tuduhan liar yang tidak berasas serta memalukan negara. Sehubungan itu, Jakim menggesa pihak-pihak yang mendakwa agar tampil mengemukakan bukti atas dakwaan tersebut,” katanya.

ADS