Mesyuarat agung tahunan pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) esok akan berlangsung penuh dengan adat istiadat Melayu, kata setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali.

“Majlis esok akan diserikan dengan penuh adat istiadat Melayu, termasuklah (membawa) sireh junjung dan pulut kuning,” katanya.

Mesyuarat PERKASA esok di Dewan Tun Razak, PWTC mendapat perhatian banyak pihak ekoran populariti NGO pimpinan ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, yang melonjak dalam masa yang singkat.

Pertubuhan itu terkenal dengan kelantangannya mereka, antaranya apabila terlibat dalam demonstrasi membantah pentadbiran Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang didakwa “meminggirkan Melayu” di negeri itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Syed Hassan berkata, sebelum ucapan dasar presiden, mesyuarat agung PERKASA itu akan turut diserikan dengan persembahan silat.

“Insya-Allah, 200 orang akan membuat persembahan silat sebelum acara bermula,” katanya.

Syed Hassan berkata, mesyuarat sulung PERKASA - yang kini masih dalam penajaan - dijadual bermula dari jam 9 sehingga 5 petang, melibatkan sekurang-kurangnya 8,000 anggotanya di seluruh negara.

Syed Hassan menambah, ia akan dimulakan dengan ucapan Ibrahim dan perasmian oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga jam 12.30 tengah hari.

“Selepas itu, bermula jam 2 petang, sesi tertutup,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Syed Hassan berkata, sesi petang mesyuarat terbabit akan memilih anggota jawatankuasanya yang baru.

Mesyuarat juga akan membincangkan empat usul berkaitan agama, keselamatan, ekonomi dan pendidikan, tambahnya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut usul tersebut kerana ia akan dibincangkan secara tertutup esok.