Atok Samad, orang muda dan kemerdekaan
Abdul Samad Ismail, begitulah namanya. Mungkin sebagai tanda hormat, ramai lebih mesra memanggilnya Pak Samad. Dia orang besar dalam sejarah kemerdekaan Malaysia. Meskipun begitu, Samad mungkin hanya legenda yang telah diperbesar-besarkan naratifnya. Dalam memoir politik Said Zahari, ada ditulis yang Samad sebenarnya tidaklah wujud dan berdiri sendiri dengan kata lain "tidaklah sehebat mana".
"Tetapi Samad Ismail tetap bertahan di Berita Malai dan akhirnya dia diberi jawatan editor, selepas semua anggota kanan di jabatan pengarang berhenti. Thaharuddin Ahmad, anggota sidang pengarang yang lebih kanan pula sakit di hospital. Maka Jepun meletakkan tanggungjawab itu kepada Samad Ismail semasa dia belum pun mencapai usia 20 tahun," tulis Said dalam Meniti lautan gelora (halaman 98).
"Thaharuddin memberitahuku dalam satu perbualan di Pulau Pinang pada bulan Disember 1995, bahawa Samad Ismail 'belajar politik' daripadanya dan pejuang-pejuang kemerdekaan Indonesia yang lain semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu."
Dia menyambung: "Prestijnya meningkat, lebih-lebih lagi setelah ditangkap dan ditahan di Singapura oleh Inggeris bersama-sama beberapa orang aktivis politik antipenjajah yang lain termasuk Devan Nair, PV Sharma, John Eber, Abdullah Majid dan James Puthucheary." (halaman 105).
Petang 29 Ogos lalu, saya menemui Pak Samad. Kami berbual-bual. Tetapi seperkara yang dapat saya rasakan untuk seorang manusia seusia Samad Ismail ini segalanya hanya tinggal 'pernah'. Hari depannya begitu pendek berbanding hari lepasnya.
Dalam bualannya, banyak yang diceritakan kisah dia dipenjara di Singapura, kisah bagaimana dia menyusun mogok lapar para tahanan. Dia melalaui pengalaman hidup yang sungguh heroik.

Mogok lapar
"Waktu itu, saya di kem tahanan Pulau St John (Singapura). Buat mogok lapar mesti ada sokongan. Waktu itu ratusan orang tahanan ikut serta. Jadi nak buat macam mana? Mesej saya tulis di daun nipah (kertas rokok nipah). Boleh gulungkan dan sampaikan. Wardenlah yang tolong kita juga. Habis tu. Kemudian, bila kita buat mogok lapar lain-lain penjara pun kena ikut serta, di Changi misalnya," imbas Samad.
Dalam usia setuanya, Pak Samad masih seorang perokok yang segar, menarik nafas dan menghembuskan kepulan asap. Keadaan kesihatannya tidaklah begitu baik. Namun segala apa yang pernah dilaluinya merupakan sebuah ingatan dan kenangan zaman silam yang penuh nostalgia.
Alam fikirnya terlalu sentimental dan terkadang jadi paling konservatif. Dia cenderung mempertahankan yang lama sebagai suatu kemutlakan hidup. Hal inilah yang mungkin mendorong Samad Ismail menghasilkan komen-komen yang seolah-olahnya menghina semangat dan keazaman orang muda zaman ini. Namun hal ini boleh diperdebatkan.
"Orang muda, pelajar sekarang ini buta ilmu pengetahuan. Saya pernah mengajar di universiti. Saya tahulah. Part-time lah. Budak Melayu terutamanya. Lepas kelas semua balik. Tapi budak Cina, lain sikit. Ada yang datang sampai ke rumah. Waktu itu saya mengajar penulisan kreatif. Macam mana nak tulis cerita pendek?" katanya.
"Tapi itulah, terutamanya yang ikut terlibat berpolitik. Kesedaran itu ada tapi tak cukup membaca. Saya dah kata, baca....baca. You must read ."
Buat saya, Samad Ismail gagal meneroka sudut atau sisi lain yang tumbuh dengan dinamika tersendiri dalam diri generasi muda hari ini. Samad mungkin melihat generasi sekarang perlu menebak susur galurnya (atau mungkin perlu menjadi seperti dirinya).
Malas membaca
Baginya, mereka perlu mencari akarnya, asas sejarah kewujudan sebuah bangsa Malaysia moden serta mengambil tahu hal-hal perjuangan 'orang lama'. Orang yang selalu dibanggakan hanya kerana "memakan garam terlebih dahulu".
Akar boleh dicari tetapi terlalu banyak pepohon untuk dipilih? Anggapan bahawa majoriti orang muda hari ini lalai, tidak berpengetahuan, malas dan mudah lupa mungkin benar (mungkin juga tidak).
Saya bertanya padanya: "Tapi anak-anak muda jadi macam sekarang ini tidakkah kerana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) juga dan hal-hal yang lainlah, macam persaingan politik antara parti pembangkang dan kerajaan Islamisasi PAS dan Umno misalnya dalam kampus, macam mana pula tu?"
"Itu betul jugalah. Tapi itulah orang muda malas membaca. Tak membaca. Dulu saya baca Marx, Maxim Gorky. Banyak lagilah," jawabnya sambil mengulang cakap kisah-kisah lamanya dalam berjuang menentang Inggeris di Singapura dulu.
Sejarah mengajarkan kita bahawa undang-undang darurat British hanya ditukar nama kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Samad berpeluang merasai kedua-duanya.
Setelah bertahun-tahun merdeka, nampaknya Samad masih bukan orang terakhir menjadi mangsa akta itu. Kini masih ada lebih seratus orang tahanan ISA di kem Kamunting.
Kepentingan politik
Samad pernah ditahan bersama dua orang lagi Abdul Abdullah Majid (bekas timbalan menteri buruh) dan Abdullah Ahmad (kini ketua pengarang Kumpulan NSTP) pada 1976. Ingatan kolektif rakyat Malaysia hari ini masih boleh dijentik-jentik untuk mengimbas peristiwa penting dalam tempoh penahanannya.
Sehari selepas sambutan perayaan merdeka pada tahun itu, dia muncul di kaca televisyen dan suaranya juga bergema di corong radio. Tanggal 1 September tahun itu, Samad membuat pengakuan terbuka bahawa dia seorang komunis.
Bagi sesetengah orang, pegangan Samad dilihat telah berjaya "ubah" melalui oleh akta itu. Pengakuannya telah digunakan untuk kepentingan politik kumpulan tertentu dalam Umno bagi bersaing merebut kekuasaan.
Tapi ia bukan salah Samad, ia salah ISA itu juga. Dalam hidup ini, manusia akan sentiasa berdepan dengan ketakutan. Memetik Nietzsche, "ketakutan ialah kehilangan atau ketidakhadiran kuasa.", ketidaktahuan, rasa tidak selamat, tiada jaminan dan tidak dapat mengawal situasi yang muncul.
Dan mungkin kita tak perlu menjadi hero, tak perlu berlagak menjadi seorang super human . Namun itulah penyelesaian Nietzsche, "kehendak untuk berkuasa dan menjadi manusia maha hebat."
Seorang kawan dengan nada kecewa berkata, dia belum dilahirkan lagi pada zaman penjajahan Jepun dan British. Jadi mana mungkin dia dapat merasai penderitaan seperti yang dilalui oleh Samad?
Penindasan dan pemerasan
"Kesakitan yang bagaimana, aku tidak tahu tapi aku boleh membaca dan menilainya itu tertulis dalam buku-buku sejarah. Berat bahu memikul, berat lagi mata memandang. Tapi mungkin kesakitan dan penderitaan yang dipikul hari ini, lebih berat dan mungkin lebih resah daripada yang didepani Pak Samad."
Mungkin ia bukan lagi perjuangan merebut kemerdekaan politik dan pemerintahan sendiri daripada penjajahan British dan Jepun. Mungkin ia sebuah perjuangan kemerdekaan dan kebebasan untuk menjadi seorang manusia yang benar-benar bebas dan merdeka daripada segala bentuk eksploitasi, penindasan dan pemerasan oleh sesiapa saja.
Kemungkinan Pak Samad juga telah bertahun-tahun mengasingkan diri dari dunia anak-anak muda. Dia telah terlalu tua, seorang atuk! Kalau tulisan ini dibaca Pak Samad, mungkin dia tidak dapat memahaminya. Dia tidak mungkin dapat merasai keperitan dan kesengsaraan zaman ini. Dia bukan seorang 'peresah' kepada zaman yang resah ini. Ini bahasa baru meski bukan yang paling baru.
A Samad Said, seorang lagi Pak Samad (dengan gelaran Datuk) rasa-rasanya lebih jujur dan berterus terang mencerminkan dirinya terhadap kehendak dan cabaran semasa. Sasterawan Negara berjanggut dan berambut putih panjang itu menyebut, "zaman ini, bukan era saya lagi".
"Saya tidak kisah jika ada yang ingin berdebat dengan saya, tapi saya akan menolak kalau diajak berdemonstrasi atau bereformasi misalannya. Saya dulunya telah menjadi aktivis di zaman [Ahmad] Boestamam. Sekarang ini, bukan saya tidak tahu. Saya tahu, tapi cukuplah saya sekadar menjadi pengamat saja."
Merdeka dan 31 Ogos hanyalah suatu tanda dan simbol yang telah melalui permudahan dan pengubahsuaian untuk tujuan-tujuan tertentu yang berasaskan kepentingan-kepentingan tertentu. Seperti kata A Samad Said pada akhirnya, "ia tergantung di mana kita berdiri".
Tiada harapan
Samad Ismail pula mungkin terlupa, cara pandang hidup bukan satu jalur saja. Seperti watak kebenaran yang terpancar-pancar sinarnya. Dan mungkin kesangsian, keraguan dan pertentangan kehidupan tidak semudah logika yang pernah dilaluinya.
Kerana ramai wajah-wajah tertindas dulunya, pun telah bertukar jadi penindas hari ini (ramai juga yang masih tertindas). Pak Samad tidak perlu berdiri dengan pendirian antara dua rupa ini. Persoalan serta cabaran zaman sekarang lebih kompleks sifatnya. Dasarnya lebih dalam dan kontradiksi kehidupannya juga lebih bercelaru serta bersimpang siur.
"Pak Samad, ada harapan pada orang muda?" tanya saya sebelum mengakhiri pertemuan pada petang 29 Ogos itu.
" No hope . Tak ada harapanlah," jawabnya degan penuh degil, mempertahankan tesisnya dalam sebuah laporan Bernama minggu sebelumnya.
Hidup ini pula, tidak sepatutnya memiliki ketentuan mutlak kerana selalu ada sisi-sisi lain untuk diperhatikan. Dalam segugus sajaknya, penyair Chairil Anwar berkata: "Sekali berarti, (se)sudah itu mati."
Tetapi kalau bait sajak ini ditukar sedikit kepada "sekali berarti sudah itu mati," tentu akan lain konotasi makna dan nadanya. Kemutlakan hanya untuk orang yang rasa-rasanya telah puas hidup dan berhenti berfikir! Atau dengan kata lain, mati. Orang muda rasanya, masih belum lagi mahu mati!
RAHMAT HARON pernah aktif bersama gerakan siswa sekitar era reformasi, selain pernah juga bertugas sebagai pengarang akhbar Roket (versi bahasa Melayu) dan wartawan Radiq Radio.com , sebuah program berita radio independen. Dia kini seorang penulis bebas.

Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.