Kes saman fitnah ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ditetapkan untuk pengurusan kes akhir pada 12 Mei.

anwar khairy 150807 Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Wan Nursalena Wan Abdullah menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam Anwar, S Prakash dan A Sarah Maalini yang mewakili Khairy.

Prakash berkata, mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak supaya mengemukakan dokumen bersabit dengan kes itu sebelum mahkamah menetapkan tarikh untuk perbicaraan kes saman berkenaan.

Anwar, 63, memfailkan saman itu pada 7 September 2007 dengan mendakwa bahawa Khairy, yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, memfitnah beliau dalam satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak, pada Ogos 2007.

Anwar, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa kenyataan berbaur fitnah Khairy itu disiarkan oleh media cetak dan elektronik di negara ini pada 3 Ogos 2007.

 - Bernama