Bekas hakim mahkamah syariah YDP baru Yadim
Bekas hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir dilantik sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) yang baru, berkuatkuasa hari ini.
Pelantikan beliau untuk menggantikan Datuk Nakhaie Ahmad di kerusi panas Yadim itu, dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom di lobi Parlimen hari ini.
Aziz berkelulusan sarjana daripada Universiti Deoband, India dan kini sedang mengikuti program kedoktoran di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau.
Beliau sebelum ini juga merupakan ahli lembaga penapisan filem negara di kementerian dalam negeri dan juga pernah dilantik sebagai setiausaha sulit kanan kepada menteri pelajaran Malaysia sehingga April 1998.
Beliau juga pernah bertanding sebagai calon BN menentang Dr Lo' Lo' Ghazali bagi kerusi parlimen Titiwangsa dalam pilihan raya umum 2008.

