Perpecahan di kalangan umat islam di masjid tidak berkait dengan kaedah pelantikan ahli jawatankuasanya, kata Menteri  di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Sebaliknya, kata beliau, perpecahan tersebut berlaku disebabkan  perbezaan pendapat antara pegawai masjid yang tidak  menghormati perbezaan pendapat.

"Sama ada diberikan pelantikan tersebut oleh pihak kerajaan ataupun lantikan tersebut dibuat oleh pihak masjid sendiri,  sentiasa berlaku perpecahan daripada kedua-dua belah pihak  sebab wujudnya pandangan berbeza dan mereka tidak boleh  bersepadu dalam perbezaan pendapat.

"Apa yang boleh dikatakan mereka tidak menghomati perbezaan pandangan, siapa yang menang akan dianggap sebagai musuh  kepada yang kalah dan kalah akan dianggap musuh oleh yang  menang," katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat  hari ini.

Beliau sebelum itu diajukan soalan tambahan oleh Mohd Nasir  Zakaria (PAS-Padang Terap) yang mendakwa pelantikan terus  ahli jawatankuasa masjid telah menjejaskan perpaduan di  kalangan ahli kariah.

Dalam penjelasan seterusnya, Jamil Khir berkata, pelantikan jawatankuasa masjid dibuat bawah bidang kuasa kerajaan negeri  masing-masing.

"Untuk memulakan lantikan ini, Padang Terap boleh bawa usul ini  nanti ke negeri kedah supaya lantikan dibuat oleh ahli kariah  masing-masing," katanya.

Menjawab soalan asal dari Matulidi Jusoh (BN-Dungun), Jamil  Khir berkata, kerajaan memperuntukkan RM76 juta tahun lalu  untuk menjaga kebajikan 6,119 masjid dan  18,227 surau di seluruh negara.

Selain itu, katanya, kerajaan juga membayar RM9 juta untuk  pengimarahan takmir, selain peruntukan RM1.7 juta  setahun bagi bayaran pegawai penyelaras pembangunan daerah.

"Di samping itu, jabatan agama Islam negeri dari semasa ke  semasa memberi sumbangan dana, dari pusat dan kerajaan  negeri juga beri sumbangan untuk pengimarahan masjid dan surau," katanya.