Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Hadi angkat sumpah sebagai ketua pembangkang baru
Published:  Sep 9, 2002 4:14 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Pemangku presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini secara rasmi memulakan tugasnya sebagai ketua pembangkang yang baru, menggantikan allahyarham Datuk Fadzil Noor yang meninggal dunia pada 23 Jun lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tun Dr Mohamed Zahir Ismail mengumumkan perlantikan Abdul Hadi ( gambar ) sebaik sahaja Dewan Rakyat memulakan mesyuarat ketiga penggal keempat hari ini.

Menurut Mohamed Zahir, Abdul Hadi (PAS-Marang) telah menerima sokongan majoriti daripada ahli pembangkang di Parlimen untuk dilantik sebagai ketua pembangkang.

Dengan pelantikan itu, katanya, Abdul Hadi layak menerima kemudahan mengikut Seksyen 3 Akta Ahli Parlimen Saraan 1980 mulai hari ini.

Pelantikan itu juga menyaksikan beberapa perubahan kecil dari segi kedudukan anggota pembangkang di Parlimen.

Parlimen Pendang

Sementara itu, ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul yang memenangi pilihanraya kecil kawasan itu pada 18 Julai lalu, turut mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat yang baru.

Beliau kemudiannya menerima ucapan tahniah daripada beberapa anggota penyokong kerajaan ketika melangkah ke tempat duduknya di sebelah ahli Parliman Kuala Selangor Mohamed Sayuti Said di barisan ketiga Bahagian E kedudukan anggota parlimen.

Othman, bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, memenangi kerusi Parlimen Pendang setelah menewaskan calon PAS Dr Mohd Hayati Othman dengan majoriti 283 undi dalam pilihanraya kecil itu yang diadakan selepas kematian Fadzil pada 23 Jun lalu.

Dewan Rakyat kini mempunyai 193 anggota; 152 daripada Barisan Nasional, 26 PAS, 10 DAP dan lima Keadilan.

Mohamed Zahir turut membenarkan Datuk Shahnon Ahmad (PAS-Sik) bercuti daripada menghadiri mesyuarat sepanjang sesi persidangan kali ini.

Mesyuarat Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung selama 38 hari bermula hari ini hingga 12 Nov manakala Dewan Negara pula dijadual bersidang mulai 11 hingga 28 Nov.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan Negara 2003 di Parlimen pada 20 Sept ini.

ADS