BERITA Malaysiakini

JK antara agama: TPM tolak PERKASA

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata orang ramai tidak perlu bimbang berhubung peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon yang bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Antara Agama, kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan pertikaian berkaitan agama.

deputy prime minister muhyiddin yassin at sekolah menengah sains hulu selangor 020410 02 Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa itu berperanan untuk memberi ruang dalam usaha mewujudkan persefahaman dan perpaduan di antara kaum dan agama di negara ini.

"Jawatankuasa ini dibuat dalam bentuk pentadbiran di bawah Jabatan Perdana Menteri, mungkin ada hasil-hasil perbincangan yang boleh digunakan sebagai panduan untuk tambah baik perhubungan antara kaum yang boleh kita ambil.

"Tetapi soal-soal tentang kedudukan agama Islam itu tidak akan disentuh, kedudukan dan martabatnya tidak akan disentuh, kita kena hormat antara agama dan wujudkan semangat kerjasama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran permulaan prasekolah swasta Kementerian Pelajaran di Bandar Sungai Buaya di Rawang hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi membantah Jawatankuasa Antara Agama untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan agama diletakkan di bawah tanggungjawab Dr Koh kerana ia membabitkan soal agama Islam.

    

NONE Mengulas pendapat Pengerusi Perkasa Datuk Ibrahim Ali bahawa pelantikan bekas Anggota Parlimen Kota Baharu Datuk Ilani Ishak sebagai pengerusi jawatankuasa itu juga tidak bertepatan, Muhyiddin berkata Ilani mempunyai pengalaman dan peluang harus diberikan untuk beliau menerajui jawatankuasa itu.

"Ilani ada pengalaman, kita bagi dia peluang, wakil-wakil dari Majlis Fatwa Kebangsaan pun ada, dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pun ada, saya tak fikir kita harus bimbang," katanya.

Pada 6 April lalu, kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Antara Agama yang dianggotai oleh wakil semua agama tanpa campur tangan mana-mana anggota politik bagi memupuk kefahaman antara penganut-penganut pelbagai agama di negara ini.

- Bernama