Tarikh Tan umum keluar parti dipersoalkan
Menurut rakan-rakan seperjuangan Tan Wei Shu, pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang itu keluar PKR adalah sesuatu yang dirancang supaya serentak dengan penamaan calon BN di parlimen Hulu Selangor.
Bagi Adun Sungai Petani, Johari Abdul, jika benar Tan mendakwa beliau keluar PKR tidak ada kaitan dengan penggugurannya sebagai exco kerajaan negeri Kedah, mengapa beliau membuat pengumumannya semalam.
“Kenapa letak jawatan sekarang? Kenapa tidak bulan lalu? Jika benar ia tidak ada kaitan, mengapa pilih tempoh masa ini? Soal Johari ketika dihubungi.
“Malah orang yang bodoh juga tidak akan percaya bahawa tidak ada apa-apa di sebalik perletakkan jawatan Tan, semalam,” katanya.
Adun Bakar Arang itu mengumumkan tindakannya keluar parti di Kuala Lumpur semalam, iaitu dua hari lagi sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor, pada 17 April ini.
Beliau sebelum ini merupakan exco kerajaan Kedah yang digugurkan dalam rombakan exco pada 10 Mac lalu dan tempatnya diambil alih oleh seorang lagi wakil PKR, ADUN Sidam, Tan Show Kang.
Dia mendakwa tindakannya itu diambil kerana "dipermainkan oleh pemimpin parti demi kepentingan individu tertentu".
Tindakan Tan, semalam itu menjadikannya wakil rakyat PKR yang kelapan keluar parti. Sebelumnya, empat ahli parlimen dan tiga Adun parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah mengambil tindakan yang serupa.
Tan juga menjadi Adun kedua - selepas Adun Lunas Mohammad Radzhi Salleh - daripada Kedah yang melompat parti sebelum ini.
Ekoran tindakan Tan itu, BN kini lebih hampir untuk mengambil alih Kedah. Dalam kerajaan pimpinan PAS itu, Pakatan kini tinggal 20 kerusi DUN, BN 14 kerusi, manakala bebas dua.
Kerajaan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak itu boleh tumbang sekiranya terdapat tiga lagi Adun Pakatan yang mengikut jejak langkah Tan.
[Baca berita penuh]

