TPM: Peluang BN kekal kerusi Parlimen Sibu cerah
Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi Parlimen Sibu pada pilihan raya kecil 16 Mei ini adalah baik berdasarkan sambutan yang diterima semasa beliau melawat Sibu.
Namun, Timbalan Perdana Menteri, berkata calon BN hanya akan diumumkan nanti selepas Ketua Menteri, Tan Sri Abul Taib Mahmud, yang juga pengerusi BN Sarawak, mengadakan perbincangan dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta parti komponen negeri yang lain.
"Sewaktu saya menghadiri majlis makan malam bersama-sama hampir 500 pemimpin masyarakat di Sibu malam tadi mereka memberi sambutan dan reaksi amat baik secara spontan ketika saya menjelaskan perjuangan BN kerana mereka faham apa yang saya maksudkan," katanya kepada pemberita.
Muhyiddin sebelum itu merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2010, anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di Kucing hari ini.
Pilihan raya kecil Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew, daripada SUPP pada 9 April lalu.
M
uhyiddin berkata, jasa Lau memimpin Sibu akan diteruskan oleh wakil baru BN nanti sebagai kesinambungan kerja baiknya.
"Saya percaya bila sampai waktunya nanti, kita akan meletak calon yang paling sesuai dan kita harap rakyat akan menyokongnya," katanya sambil menambah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah memutuskan supaya Taib mengumumkan calon yang paling layak pada waktu yang sesuai nanti.
Mengenai pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, beliau berkata: "Kita ingin melihat pertandingan satu lawan satu dan kenyataannya bahawa dua calon Bebas menarik diri telah memberikan harapan besar kepada kita untuk menentang Parti Keadilan Rakyat (PKR)".
Muhyiddin juga berkata, bekas Naib Pengerusi MIC Selangor, VS Chandran, dan Johan Mohd Diah yang menarik diri telah menyatakan mereka menyokong BN dan akan membantu BN pada pilihan raya kecil itu.
"Dengan cara begini, kita berharap akan lebih mudah mendapat kemenangan," katanya.
Ditanya menyenai tindakan Bendahari PKR Hulu Selangor Datuk Dr Halili Rahmat untuk keluar daripada PKR dan menyertai Umno, beliau berkata ia menjadi satu iktibar bagi masyarakat untuk memberi pertimbangan yang sewajarnya mengenai perjuangan PKR dari segi kebaikan dan kebajikan yang boleh diberi untuk rakyat atau sebaliknya.
- Bernama

