Masyarakat Felda di kawasan Parlimen Hulu Selangor tidak mempunyai sebab menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil di situ Ahad ini kerana hanya wakil rakyat daripada BN sahaja yang mampu meneruskan perjuangan membela nasib mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

Katanya pilihan raya kecil itu juga adalah satu peluang bagi mereka mengenang budi dan jasa Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang membangunkan tanah rancangan itu.

"Pilihan raya ini adalah satu peluang kepada warga Felda menterjemah sokongan kepada parti pemerintah dalam bentuk undi sebagai mengenang budi baik Allahyarham Tun Abdul Razak bangunkan Felda, yang kini disambung anaknya, Datuk Seri Najib Razak.

"Rakyat sendiri dapat melihat pembangunan hidup mereka dan nikmat yang dikecapi melalui usaha itu dan ianya harus diterjemahkan dalam bentuk undi.

"Itu (mengenang budi) memang satu prinsip asas kepada budaya Malaysia. Barang siapa yang membantu kita, kita jangan lupa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Keluarga 1Malaysia Felda Gedangsa diHulu Selangor malam semalam.

"Kawasan Parlimen Hulu Selangor merangkumi berapa penempatan Felda iaitu Sungai Tengi, Soeharto, Gedangsa, Sungai Tengi Selatan dan Sungai Buaya.

Rais berkata pembangkang dilihat tidak dapat meneruskan perjuangan membela nasib warga peneroka Felda.

"Pembangkang tak buat apa-apa bangunkan Felda," katanya.

Beliau berkata calon BN, P Kamalanathan mempunyai "resipi" menjadi seorang bakal pemimpin yang harus diberi peluang untuk menyumbang pemikiran dan membimbing rakyat.

Dalam pilihan raya itu, Kamalanathan berdepan dengan Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Rais berkata pembangkang sekarang ketandusan isu untuk dicanang pada pilihan raya kecil itu.

"Orang cium tangan pun hendak dipersoalkan. Kita diajar nenek moyang kita menghormati pemimpin, justeru kalau seseorang itu salam tunduk sedikit tak apa...ini cara hidup kita. Carilah isu yang lebih kental," katanya.

Mengenai Karnival Hari Keluarga 1Malaysia, beliau berkata lebih 75 peratus daripada seramai 2,189 pengundi berdaftar di Felda Gedangsa menghadiri majlis itu.

"Kehadiran ini menunjukkan petanda bahawa perjuangan 1Malaysia diterima pada zahirnya dan tanda untuk bersatu di bawah naungan Perdana Menteri adalah jelas meskipun pembangkang membangkitkan pelbagai isu," katanya.

- Bernama