K'jaan tingkatkan usaha bantu penduduk miskin
Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan meningkatkan lagi usaha untuk membantu masyarakat luar bandar khususnya yang miskin dan daif, walaupun kerajaan telah berjaya membantu memperbaiki taraf hidup mereka sejak merdeka lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam memastikan negara mencapai Wawasan 2020, tidak akan sekali-kali mengabaikan masyarakat luar bandar yang miskin dan daif.
"Kita akan teruskan dan tingkat usaha untuk membantu masyarakat luar bandar. Komitmen kita untuk membela rakyat miskin tidak akan terhenti. Kita tidak mahu lagi melihat rakyat terikat dengan putaran kemiskinan.
"Salah satu sasaran pimpinan negara ialah mengatasi masalah kemiskinan. Kita telah berjaya setakat ini. Ketika kita (negara) merdeka 53 tahun lalu, paras kemiskinan negara pada tahap 60 peratus daripada penduduk tapi kini ia hanya 3.5 peratus.
"Ini kemungkinan besar satu rekod dunia...iaitu mengurangkan kadar kemiskinan begitu banyak dalam masa yang singkat. Tetapi ada juga orang di luar bandar yang tidak bersyukur...pembelaan yang sekian lama tidak diingat," katanya ketika berucap di majlis mesra bersama rakyat dan peserta Felcra Bhd di Ampang Pecah di Hulu Selangor, hari ini.
Katanya kerajaan telah memainkan peranan berkesan khususnya di dalam membangunkan masyarakat luar bandar dan ini jelas terbukti dengan penubuhan agensi-agensi seperti Felcra, Risda, Kemas dan lain-lain lagi.
Menurut Muhyiddin, Felcra, sebagai agensi pembangunan kerajaan yang bertanggungjawab
membangun dan memajukan kawasan luar bandar, telah memajukan 249,509 hektar tanah terbiar di seluruh negara dengan tanaman sawit, getah dan padi dengan memberi manfaat kepada 93,472 peserta termasuk 3,427 Orang Asli.
Di Selangor, Felcra telah memajukan 5,516 hektar tanah terbiar di luar bandar dengan memberi faedah kepada 4,119 peserta.
Sementara di Hulu Selangor, Felcra telah memajukan tanah seluas 1,431 hektar di mana lebih 1,000 penduudk luar bandar mendapat manfaat termasuk 60 peserta Orang Asli.
Jumlah dividen peserta Felcra bagi 2009 pula adalah RM321.4 juta yang dibayar sebanyak empat kali setahun. Daripada jumlah itu sebanyak RM143.8 juta telah diagihkan pada 2009 dan bakinya sebanyak RM167.9 juta akan dinikmati oleh peserta pada Mac dan Jun tahun ini.
"Sejarah politik negara yang telah meletakkan masyarakat luar bandar sebagai pendukung utama kestabilan politik negara dan sebagai pendukung kestabilan sosio ekonomi masyarakat wajib diperkukuhkan," katanya.
Beliau juga berkata kerajaan BN akan terus berjuang memartabatkan penduduk luar bandar dengan memperkenalkan gagasan holistik 1Malaysia dan jelas gagasan itu adalah penerusan agenda membela nasib penduduk luar bandar.
- Bernama

