Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA: Kenyataan Ibrahim Ali berunsur hasutan
Diterbitkan:  Apr 27, 2010 7:35 PM
Dikemaskini: Apr 28, 2010 1:53 AM

MCA menyelar presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwanya berunsur "perkauman menebal" yang telah menyinggung perasaan kaum Cina.

Naib Presiden MCA  Gan Ping Sieu berkata kenyataan ahli Parlimen Pasir Mas itu, yang menggesa kerajaan menangguhkan kelulusan peruntukan dan projek kepada kaum Cina - yang Ibrahim anggap sebagai "tidak berterima kasih" dan "tidak menghargai" - amat dikesali.

    

"Kenyataan itu juga berunsur hasutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

    

Ibrahim membuat kenyataan itu semalam berikutan keputusan pilihan raya kecil bagi parlimen Hulu Selangor Ahad lalu, yang menunjukkan sokongan kaum Cina terhadap BN semakin berkurangan.

Bagaimanapun, Gan menegaskan satu daripada sebab utama BN kehilangan keyakinan kaum Cina adalan berpunca daripada kerjasama sebenar atau tanggapan terhadap kerjasama erat pemimpin BN dengan organisasi "perkauman menebal".

    

Beliau juga mendakwa kenyataan berunsur perkauman oleh beberapa pemimpin BN yang dilaporkan secara meluas oleh media, turut memberi kesan dalam pilihan raya kecil itu.

    

Gan berkata jika BN mahu mendapatkan lebih banyak sokongan daripada pengundi bukan Melayu, ia perlu terlebih dahulu menjauhkan diri dengan pertubuhan seperti PERKASA yang cenderung meluahkan kenyataan berunsur perkauman.

    

Jika tidak, katanya, BN menghadapi risiko kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya umum k-13 akan datang.

    

"Saya bangga menjadi wakil rakyat yang datang dengan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat. Sebarang kenyataan supaya rakyat berterima kasih dan menghargai merupakan pencabulan terhadap amanah dan keyakinan yang diberikan rakyat.

    

"Mana-mana ahli politik yang membuat kenyataan berunsur perkauman dalam komuniti mereka sendiri akhirnya akan diketepikan oleh rakyat. Saya pasti jika Ibrahim Ali bertanding sebagai calon di kawasan bukan Melayu, beliau tidak akan mampu dapat 10 peratus pun daripada undi," katanya.

- Bernama

ADS