Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan ikrar tangani isu gaji rendah
Diterbitkan:  May 8, 2010 11:03 AM
Dikemaskini: 3:08 AM

Kerajaan amat peka dan prihatin dengan gaji rendah yang diperoleh pekerja di beberapa sektor tertentu, dan faham bahawa ketika ini terdapat 30 hingga 40 peratus kelas pekerja yang masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S.Subramaniam.

NONE Beliau berkata, kerajaan akan mengambil langkah tertentu bagi memastikan gaji pekerja ini dinaikkan selaras dengan matlamat Model Ekonomi Baru (MEB) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

"Kerajaan mahu supaya gaji pekerja dalam sektor-sektor ini ditingkatkan," katanya ketika berucap di Hari Pekerja 2010 anjuran Kementerian Sumber Manusia di Mines Resort City, Seri Kembangan, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Subramaniam, berkata pelbagai strategi akan dilaksanakan melalui MEB yang antara lain bertujuan melonjakkan kuantum pendapatan perkapita rakyat daripada AS$7,000 (RM23,000) kepada AS$15,000 (RM49,000) setahun dalam tempoh 10 tahun.

Bagaimanapun, menurut beliau, kenaikan gaji tidak akan berlaku tanpa diiringi dengan peningkatan dalam produktiviti pekerja.

NONE Beliau berkata, MEB adalah satu cabaran kepada pekerja dalam negara untuk mengubah sikap dari bekerja sekadar cukup makan kepada berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi, dan kerajaan amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakannya.

"Pekerja perlu membuat perubahan dari segi minda, tingkah laku dan cara bekerja supaya dapat meningkatkan produktiviti ke arah mencapai pendapatan tinggi," katanya.

Dr Subramaniam berkata, kerajaan sedang dan akan melaksanakan pelbagai usaha supaya sistem pendidikan dan latihan berupaya meningkatkan kualiti modal intelektual serta memperluaskan asas sumber manusia melalui inovasi dan kreativiti.

intel factory workers malaysia 220109 Menurutnya, hasil kerjasama dan hubungan baik antara kerajaan, majikan dan pekerja, hanya empat tindakan perusahaan iaitu mogok dilaporkan pada tahun 2009 dalam negara.

"Saya berharap kejadian seperti ini boleh dihindarkan pada tahun-tahun akan datang melalui kerjasama dan perundingan yang lebih efisyen," katanya.

Beliau berkata, sempena Hari Pekerja tahun ini Kementerian Sumber Manusia memperkenalkan Anugerah Ladang Bahagia untuk memberi dorongan kepada pihak pengurusan supaya menyediakan kemudahan-kemudahan asas yang lebih kepada pekerja-pekerja mereka.

- Bernama

ADS