Akar umbi Umno turut bantah konsert 12 jam

       

Selepas dikritik hebat oleh PAS, Umno Segambut hari ini turut membantah penganjuran konsert panjang 12 jam tanpa henti yang akan dilangsungkan berdekatan kawasan mereka pada hujung minggu ini.

Ketua bahagiannya Senator Datuk Kamarudin Ambok berkata penganjuran konsert yang panjang sebegitu masih tidak dapat diterima oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

NONE "Tetapi kalau hendak buat juga, kalau tamat pada jam 2.00 pagi misalnya, boleh dipertimbangkanlah.

"(Tetapi) Kalau tempohnya panjang sangat, akan menghasilkan gejala yang kita tidak hendak (berlaku)," katanya.

Beliau diminta mengulas kontroversi penganjuran konsert '12 Hours Live with Chivalry' pada 15 Mei (Sabtu depan) di Arena Tertutup Bukit Kiara, Kuala Lumpur yang antaranya menampilkan kumpulan R&B terkenal Barat Pitbull.

Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa sebelum ini dilaporkan mendakwa penganjuran konsert panjang daripada jam 7 petang sehingga 7 pagi itu "telah melanggar garis panduan durasi persembahan sesebuah konsert".

Sambil mendesak Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) - sebuah agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan - memberikan penjelasan, Nasharuddin mendakwa lirik lagu Pitbull berunsur lucah dan menggalakkan pengambilan ganja.

rais yatim pc 070809 03 Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Kamarudin meminta menteri berkenaan Datuk Seri Rais Yatim menggunakan kuasa yang ada padanya untuk campurtangan dalam kontroversi tersebut.

"Saya minta Datuk Seri Rais mainkan peranan (dengan) membatalkan konsert itu," tegasnya.

Ditanya berhubung dakwaan bahawa terdapat lirik Pitbull yang dikatakan berunsur lucah, Kamarudin berkata beliau tidak dapat mengulaskanya kerana tidak tahu.

Usaha Malaysiakini mendapatkan ulasan Puspal setakat ini masih belum berhasil.

 

 

Malaysiakini
terkini untuk anda