Bukan Islam dibenar pohon jadi peguam syarie di KL

   

Seorang peguam wanita yang bukan beragama Islam, Victoria Jayaseelee Martin, hari ini memperolehi kebenaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk beliau berkhidmat sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran kepada permohonan untuk suatu perintah bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerima masuk Victoria sebagai peguam syarie.

Ini adalah kes pertama di Kuala Lumpur apabila seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar bahawa hanya peguam yang beragama Islam sahaja boleh bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah.

NONE Hakim Zawawi yang membenarkan permohonan itu menolak bantahan yang dikemukakan oleh MAIWP.

Victoria ( atas, kanan ) mendapat kelulusannya pada tahun 2004 daripada Universiti Islam Antrabangsa dan berkata beliau ingin menjadi peguam syarie demi kepentingan keadilan.

Di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, syarat sebelum seseorang boleh menjadi peguam syarie adalah dia mesti merupakan seorang Islam.

Di negeri-negeri lain, bukan Islam dibenarkan menjadi peguam syarie.

Bagaimanapun, Selangor baru-baru menarik balik kekecualian itu dan hanya peguam Islam yang dibenarkan di mahkamah syariah di negeri itu.

Victoria diwakili oleh peguam Ranjit Singh, manakala pendakwa kanan persekutuan, Nadia Hanim Mohd Tajuddin mewakili MAIWP.

Victoria, yang mempe montage roleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonanya sebagai peguam syarie ditolak MAIWP Islam melalui jawatankuasa peguam syarie.

Beliau berkata melalui sepucuk surat bertarikh 6 April, 2006, beliau menghantar permohonan tetapi MAIWP memaklumkan beliau bahawa permohonannya sedang diproses.

Selepas lebih tiga tahun, tiada jawapan daripada MAIWP berhubung permohonannya.

Katanya melalui sepucuk surat bertarikh 4 Ogos, 2009 beliau memohon semula sebagai peguam syarie tetapi MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie melalui sepucuk surat bertarikh 9 Sept, 2009 menolak permohonannya atas alasan bahawa beliau bukan Islam.

Beliau kemudian memfailkan permohonan kebenaran pada 23 Oktober tahun lalu yang antara lain untuk satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAIWP kerana menolak permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Victoria juga mahukan satu pengisytiharan bahawa Kaedah 10 daripada Rukun Peguam Syarie 1993, yang memberi mandat bahawa orang Islam sahaja boleh diterima sebagai peguam syarie adalah ultra vires kepada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Beliau juga menuntut satu pengisytiharan bahawa di bawah kaedah yang sama, yang memberi mandat bahawa hanya orang Islam diterima sebagai peguam syarie, adalah bertentangan dengan Artikel 8(1), 8(2), 5 dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Peguamnya, Ranjit Singh memberitahu pemberita bahawa hakim menolak hujahan MAIWP bahawa hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan anak guamnya berhubung permohonan menjadi peguam syarie.

Katanya beliau memaklumkan hakim bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menangani perkara itu.

Ranjit berkata hakim juga menolak hujahan MAIWP bahawa jika Victoria tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Majlis Agama, beliau boleh membuat rayuan dengan majlis itu.

[Baca berita penuh]

Malaysiakini
terkini untuk anda