Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM dakwa saksi kes rasuah Norza
Diterbitkan:  May 14, 2010 4:58 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menangkap dan menuduh lima saksi perbicaraan kes rasuah terhadap Datuk Mohamad Norza Zakaria kerana disyaki memberi keterangan bercanggah berbanding pernyataan kepada pegawai SPRM semasa proses siasatan.

norza zakaria umno macc  130309 Menurut kenyataan SPRM, kesemua mereka telah dihadapkan  di Mahkamah Majistret Temerloh pagi ini.

Mereka yang dituduh ialah Datuk Khadri Musa,  47; Datuk Yusof Jamaludin, 53; Nor Azhar Abdul Latif, 48; Nasaruddin bin Abdullah, 47; dan Shaiful Azman Mokhtar Affendi, 46.

Khadri merupakan seorang ahli perniagaan, manakala Yusof  pula berkhidmat sebagai pengarah jabatan hal ehwal khas (JASA) Pahang. Nor Azhar pula merupakan pembantu penerangan JASA Daerah Maran, Pahang. Nasaruddin merupakan seorang Kontraktor manakala Shaiful Azman  adalah pegawai Seranta di Unit Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya.

Pertuduhan dilakukan oleh timbalan pendakwaraya, Tuan Rashidi bin Abd Rahim di hadapan majistret Puan Ida Rahayu Sharif.

Semua mereka tidak mengaku bersalah dan minta untuk dibicarakan.

Mereka masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin. Kesemua mereka membayar ikatjamin  tersebut.

Menurut kenyataan SPRM itu lagi, kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga  tujuh tahun, dan denda.

Sementara itu, Bernama melaporkan perbicaraan Nasaruddin dan Khadri ditetapkan  selama tiga hari pada 8, 9 dan 10 November depan.

Perbicaraan Yusof dan Nor Azhar berjalan serentak pada 11, 15 dan 16 November depan dan perbicaraan terhadap Saiful Azman ditetapkan pada 24, 25 dan 29 November depan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memberikan keterangan palsu semasa perbicaraan kes rasuah berkenaan di Mahkamah Sesyen Temerloh yang berlangsung pada 1, 2, dan 19 Februari lepas.

Keterangan mereka itu tidak selaras dengan kenyataan yang dibuat kepada empat pegawai SPRM antara 20, 21, dan 22 Januari tahun lepas.

Kesemua kenyataan dan keterangan mereka itu telah direkodkan di pejabat SPRM Pahang Cawangan Temerloh.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Francis Tan.

 

ADS