Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS ajak 'penerbit' RTM keliling negara
Diterbitkan:  May 22, 2010 9:53 AM
Dikemaskini: 8:55 AM

PAS mempelawa bekas penerbit RTM yang dipecat baru-baru ini mengelilingi negara untuk menayangkan atau berkongsi idea dengan rakyat berhubung dokumentarinya mengenai empangan Bakun.

Ketua penerangannya Idris Ahmad berkata, dokumentari yang diterbitkan Chou Z Lam untuk rancangan 'Galeri Mandarin Nasional' di TV2 itu wajar dikongsi bersama supaya rakyat dapat melihat "penindasan yang dilakukan kepada penduduk di lembah itu".

Katanya, projek berkenaan yang tertangguh sejak sekian lama ibarat "projek puaka" yang memberikan banyak kerugian kepada rakyat dan syarikat-syarikat yang terlibat.

"Namun yang menjadi mangsa - dan dijadikan fokus dokumentari oleh Chou - adalah penduduk tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

"Masyarakat Orang Asli dan penduduk tempatan hingga ke hari ini tidak mendapat apa-apa manfaat dan perhatian selepas projek ini dilaksanakan."

Idris juga berkata Chou boleh menggunakan pentas PAS dan Pakatan Rakyat untuk menyampaikan mesej dokumentarinya kepada rakyat diseluruh negara dan "memperjuangkan hak beliau yang dizalimi".

Pada 28 April lalu, menerusi blognya, penerbit dokumentari rancangan Chou mendakwa rancangan sembilan bahagiannya itu diarah digugurkan.

Rencana itu didakwa diarah tidak disiarkan kerana bimbang akan memberi kesan kepada peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya kecil 18 Mei lalu.

Berikutan pendedahan itu pada 13 Mei lalu, khidmat Chou dengan stesen TV kerajaan itu ditamatkan.

ADS