Julang kebajikan wanita - S'gor, Pulau Pinang dipuji
Wanita Keadilan hari ini memuji kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang mengangkat martabat wanita melalui pelaksanaan dasar pentadbiran mereka, lebih-lebih lagi Selangor yang dikatakan ketara menjulang kebajikan wanita.
Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin berkata Selangor memperkasakan Pusat Sehenti OSCC, kuota 30 peratus penglibatan wanita di peringkat kerajaan negeri, 90 hari cuti bersalin (dan dua minggu cuti untuk suami) dan Skim Kesihatan Wanita.
Kerajan Pulau Pinang pula, katanya, melantik wanita sebagai Yang Dipertua serta Pegawai Daerah yang membuktikan kerajaan pakatan rakyat komited mengiktiraf kepimpinan wanita.
Berucap pada kongres pergerakan itu di Kota Bharu, hari ini, Zuraida juga meminta pucuk pimpinan PKR supaya mengarusperdanakan sayapnya sebagai usaha menambat hati lebih wanita untuk menyokong perjuangan rakyat melalui Pakatan Rakyat.
Katanya, tindakan itu penting berikutan sokongan golongan wanita terhadap Pakatan dikatakan rendah berbanding lelaki.
"Kerja penerangan juga perlu dipergiatkan dan dilakukan secara berkala. Maklumat mesti disampaikan melalui pelbagai cara yang lebih kreatif dan mengikut citarasa politik baru.
"Justeru, Wanita Keadilan menyarankan agar diwujudkan Jawatankuasa Penerangan Peringkat Negeri bagi menyaingi dan mematahkan propaganda anjuran Barisan Nasional (BN) yang banyak mengganggu pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat.
"Contohnya, penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta JASA yang sentiasa mencuba untuk melemahkan dan memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat.
"Jawatankuasa Penerangan peringkat negeri perlu diwujudkan secara khusus. Ia perlu diselaras dengan kerajaan negeri bagi memastikan komitmen padu dan kegiatan penerangan berjalan lancar, sistematik dan menyeluruh," katanya.

