Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lesen runcit barang kawalan diwajib serta merta
Diterbitkan:  Jun 1, 2010 11:28 AM
Dikemaskini: 5:39 AM

Semua peniaga yang menjual barangan kawalan iaitu gula, tepung gandum dan minyak masak akan diwajibkan memiliki lesen runcit barang-barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengecualian yang diberikan sejak 1991 akan ditarik balik bagi memastikan barangan kawalan tidak diselewengkan mana-mana pihak memandangkan ia disubsidi kerajaan.

Katanya semua kesalahan berkaitan menyorok gula juga tidak lagi dikenakan kompaun tetapi akan didakwa di mahkamah mengikut akta sama.

"Bagi peniaga menyorok gula, sesiapa yang ditangkap, lesen akan dibatalkan serta-merta dan tidak ada tawaran kompaun lagi. Mereka akan diserahkan ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran Konvensyen dan Ekspo Jualan Langsung di kementerian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata bagi mana-mana orang perseorangan yang didapati bersalah, boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara manakala syarikat boleh didenda RM250,000.

- Bernama

ADS