KSN nafi 41% kakitangan awam terbabit rasuah
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, hari ini menafikan 418,200 atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan rasuah sepanjang tahun lalu, sebaliknya angka itu adalah jumlah tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh itu.
Beliau berkata, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPECS) telah tersilap tafsir berkenaan fakta itu.
"Ramai (rakyat) yang tidak faham dan salah fahaman berhubung perkara ini (jumlah penjawat awam terbabit rasuah).
"Kenyataannya ialah peratusan itu bukannya daripada jumlah penjawat awam (terbabit rasuah) tetapi daripada jumlah tangkapan yang dilakukan SPRM sepanjang tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 Universiti Malaysia Kelantan(UMK) di Kota Bharu hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Cuepacs Omar Osman Rabu lalu bahawa seramai 418,200 atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan rasuah sepanjang tahun lalu.
- Bernama

