Bekas CEO MIED diarah serah pasport
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) P Chithirakala, yang menghadapi tiga pertuduhan menipu membabitkan RM4 juta, menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Hakim Azizah Mahamud membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais.
Dalam keputusannya, Azizah berkata SPRM berjaya membuktikan bahawa Chithirakala, 39, mempunyai niat untuk melanggar jaminan dan melarikan diri bagi mengelak daripada dibicarakan melalui laporan pegawai penyiasat kes itu, Fikri Ab Rahim.
"Berdasarkan alasan itu, mahkamah mengarahkan Chithirakala menyerahkan pasportnya sehingga kesnya selesai," katanya.
Bagaimanapun, Azizah berkata mahkamah masih boleh mempertimbangkan permohonan Chikirakala sekiranya dia perlu melakukan perjalanan ke luar negara.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Jun ini untuk menyebut semula kes bagi membolehkan Chitirakala melantik peguam baru, selepas tiga peguamnya sebelum ini iaitu Saseedharan Menon, Prem Shandar dan B.Muralidharan, menarik diri daripada mewakilinya.
Sebelum itu, mahkamah mendengar hujah Morais dan Chitirakala berhubung permohonan SPRM yang mahu wanita itu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Pada 11 Mei lepas, Chithirakala tidak mengaku salah terhadap tuduhan menipu bekas setiausaha agung MIC Tan Sri M Mahalingam, 74, seorang pengarah dan penandatangan MIED Sdn Bhd, dengan merperdayakan beliau menandatangani dua keping cek, setiap satu bernilai RM1 juta dan sekeping cek bernilai RM2 juta.
MIED merupakan cabang pendidikan parti MIC.
Chitirakala didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
- Bernama

