Menteri berlakon jujur, kononnya
terjemahan Di Bursa Saham Kuala Lumpur terdapat kira-kira 700 syarikat awam yang menawarkan saham untuk diniagakan setiap hari. Nilai saham berubah-ubah. Buat masa ini nilainya lebih mudah menurun setiap hari.
Ia terjadi kerana kesan tidak seimbang antara pembeli dengan penjual. Pasaran menjunam jika wujud lebih ramai penjual. Apabila penjualan terhenti, corak pembelian yang tertumpu hanya kepada segelintir saham tertentu menyebabkan perubahan mood . Pasaran tiba-tiba rancak aktivitinya.
Pembeli itu terdiri daripada dana simpanan tempatan dan tabung wang pencen; pelaburan dua tabung ini mudah dipengaruhi menteri kewangan. Menteri ini mempunyai tiga peranan setiap hari.
Sebagai menteri kewangan, dia mengawal tabung khazanah negara yang sungguh kuat kuasa. Sebagai bendahari Umno, dia mempertahankan kepentingan parti memerintah. Sebagai seorang yang berniaga, dia melaksanakan tugas mempertahankan kepentingan peribadinya.
Amat sukar meneka peranan-peranan yang dimainkannya pada sesuatu masa. Hal semacam ini memang tidak dibenarkan di negara moden yang lain kerana boleh wujud percanggahan kepentingan. Malaysia bukannya sebuah negara moden, dan perilaku seperti itu mudah diterima ramai.
Secara peribadi, menteri kewangan mempunyai hubungan dengan rakan-rakan niaga yang sudah lama terjalin. Apabila menteri itu mengarahkan sejumlah besar wang dibayar kepada rakan niaganya, maka wujud penyelewengan. Dia baru-baru ini mengarahkan agar seorang rakannya diberikan wang yang banyak dalam skandal saham syarikat penerbangan.
Harga bayaran itu dua kali ganda daripada harga pasaran. Alasannya, syarikat penerbangan itu tenat dan perlu diselamatkan. Dia berpendirian, harga yang tinggi itu diperlukan untuk menguasai hak pengurusan daripada rakan niaganya itu, yang telah diberikan tugas sebelum itu untuk menyelia kerugian pada kadar RM1 juta setiap hari.
Lakonan makin meloyakan
Masalahnya sekarang, jawapannya itu tidak logik. Sesuatu syarikat tenat tidak boleh menetapkan harga premium terhadap sahamnya. Kerajaan sudah pun mempunyai saham emas dalam syarikat itu bagi membolehkannya menguasai pengurusan syarikat secara berkesan.
Kerajaan boleh melakukan sesuatu mengikut selera tanpa sebarang pengaruh pemegang saham yang lain. Di sini, menteri kewangan nampaknya berusaha menyelamatkan dirinya dan juga rakan kongsinya dalam satu urus niaga yang sukar dan merugikan.
Dalam urus niaga lain, menteri kewangan menyelia perpindahan dana daripada tabung wang pencen di bawah pengaruhnya untuk menyelamatkan satu kumpulan bank yang menanggung jamin terbitan saham baru (IPO) sebuah syarikat telekomunikasi. Penerima dana itu adalah seorang lagi rakan kongsi niaganya.
Menteri kewangan berlagak seolah-olah dia tidak kena-mengena dengan urus niaga tersebut, tetapi dia tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini kerana segala butiran penjelasannya ternyata palsu belaka. Orang ramai juga ditawarkan saham itu, tetapi apabila hanya 25 peratus yang ditempah, dana daripada kumpulan wang awam itu diarahkan menerima hampir separuh peruntukan unit saham itu dengan harga yang sengaja ditingkatkan nilainya.
Di Malaysia memang wujud gelagat suka menunjuk-nunjuk kejujuran. Lakonan itu dari semasa ke semasa makin meloyakan hingga media massa yang dikawal kerajaan sendiri nampak. Rakyat membeli lidah rasmi kerajaan itu semata-mata untuk bahan jenaka. Semua akhbar itu dicanang membawa kebenaran tetapi rakyat sedar keburukan yang diterbitkannya.
Kerja gila syarikat penerbangan
Pengarang-pengarang akhbar kerap merungut secara terbuka betapa lemah usaha mereka untuk menahan cengkaman kerajaan. Mereka merayu agar tidak dikenakan tekanan untuk menyiarkan berita separuh benar dan putar-belit dalam usaha meningkatkan kembali jumlah edaran akhbar yang semakin menurun. Sayang, usaha itu sudah terlambat. Sandiwara untuk menunjuk-nunjuk 'kejujuran' telah memunahkan kewibawaan media.
Bilangan kematian dalam kejadian pergaduhan di Jalan Kelang Lama, Selangor tidak boleh dilaporkan dalam media arus perdana tanpa mencetuskan keraguan orang ramai. Oleh itu khabar angin bertiup kencang. Kerajaan pula mengugut untuk mendakwa sesiapa sahaja yang mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan oleh polis.
Hakikatnya polis juga sudah kehilangan kewibawaan. Jadi, itu semua tidak menolong mengurangkan sebarang keraguan. Kegagalan media melaporkan secebis kisah tidak penting tentang kehidupan rakyat Malaysia sudah cukup menjadikan media tidak bermakna.
Akhbar-akhbar di Malaysia tidak dibenarkan melaporkan taktik syarikat penerbangan negara ini yang mengurangkan bahan bakar secukup tempoh perjalanan kapalterbang sahaja walau ia telah menjadi amalan beberapa tahun. Juruterbang merungut tentang amalan berbahaya ini pada peringkat awal tetapi tidak diendahkan. Hanya selepas perkara ini dibantah keras oleh lembaga penerbangan London, kerja-kerja gila ini berjaya dihentikan.
Penumpang-penumpang tidak tahu menahu hal ini. Kebetulan cuaca baik ketika penerbangan menyelamatkannya daripada meletup dan bertukar tragedi. Kalaulah media tempatan bebas melaporkannya, tentu berita itu sudah lama diketahui oleh pembaca.
Menteri Luar Malaysia baru-baru ini berucap di Geneva mengenai pencabulan hak asasi manusia di sini. Dia berkata hak-hak asasi ini terpaksa diubah suai untuk menjaga kestabilan negara. Tetapi itulah juga kenyataan dan pandangan setiap diktator di dunia ini.
Undang-undang draconian tidak dipinda, sehinggalah generasi muda mengambil alih kekuasaan negara. Sementara itu wartawan yang ingin menyiasat terpaksa terjengah-jengah menyaksikan sandiwara terhadap kejujuran.
HARUN RASHID seorang ahli sains yang berminat mengguna pakai prinsip-prinsip Islam dalam hal ehwal hubungan antarabangsa. Kerjasama melalui dialog peradaban merangsang tulisannya. Kolum 'Worldview' dalam malaysiakini adalah analisis peribadinya tentang perkembangan Malaysia dari sudut pandangan sejagat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.