Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ujian khas ganti UPSR, PMR untuk masuk asrama
Diterbitkan:  Jun 22, 2010 4:29 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Satu ujian khas mungkin diwujudkan bagi kelayakan memasuki sekolah berasrama penuh untuk menggantikan peperiksaan awam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Dr Puad Zarkashi Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ujian khas itu tidak akan diwajibkan tetapi terbuka kepada pelajar yang ingin memasuki sekolah berasrama penuh.

“Ujian khas sebegini pernah dilakukan dahulu bagi kemasukan ke Maktab Melayu Kuala Kangsar,” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan anak-anak dan pengasuh Asrama Anak Yatim Johor di Aceh, Indonesia di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata ujian khas itu akan diselaraskan dan tidak dilakukan oleh sekolah berasrama penuh.

Katanya, ketika ini begitu ramai pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang tetapi tidak mahu memasuki sekolah berasrama penuh dan mahu kekal bersekolah harian.

Beliau berkata, banyak cara boleh digunakan bagi dijadikan mekanisme kelayakan ke sekolah berasrama penuh dan tidak menolak kemungkinan UPSR diubahsuai sebagai ujian khas itu.

Ditanya sama ada kedua-dua peperiksaan awam itu akan dimansuh atau salah satu sahaja, Mohd Puad berkata maklumbalas masyarakat amat penting.

Katanya, kementerian ketika ini telah menerima respon yang positif daripada banyak pihak termasuk daripada tokoh pendidik.

“Ada yang mengatakan ia sesuatu yang sudah dinanti-nantikan. Kita harap setelah mendapat maklum balas yang menyeluruh, keputusan boleh dibuat dalam masa dua tiga minggu ini, sama ada kita akan memansuhkan dua peperiksaan ini tahun hadapan atau dua tahun lagi,” katanya.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran dijangka menjawab perkara pemansuhan ini di Parlimen setelah isu tersebut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman, ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10) baru-baru ini.

- Bernama

ADS