Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Ujian tetap diperlukan untuk nilai pelajar
Diterbitkan:  Jun 24, 2010 5:21 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Peperiksaan walau dalam apa sistem sekali pun tetap perlu diadakan kerana ia satu bentuk ujian untuk menilai kebolehan seseorang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

mahathir pc on bar council 191208 02 Mengulas isu pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Dr Mahathir berkata apa yang perlu dinilai sebenarnya adalah kaedah pelaksanaan dan bukannya peperiksaan itu semata-mata.

"Kita perlu pastikan sistem yang akan diperkenal menggantikan UPSR dan PMR adalah lebih baik daripada sedia ada, termasuk mengkaji pelaksanaanya sebaik mungkin supaya ia menepati sasaran pelaksanaan dan berbaloi diperkenal menggantikan dua peperiksaan terbabit.

"Walau apa keputusan sekali pun (mansuh UPSR dan PMR atau tidak), katanya sekurang-kurangnya satu jenis ujian perlu diadakan kerana ia adalah satu kemestian. Jika tidak sukar untuk kita mengetahui kebolehan orang," katanya kepada pemberita, di Kangar, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan amanat kepada lebih 2,000 warga Perlis, sempena majlis pertemuan khas bersama pemimpin dan rakyat di Dewan 2020, di Kangar.

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) bagi menggantikan UPSR dan PMR yang dijangka dimansuhkan selepas ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, suka atau tidak, kerajaan tetap perlu mewujudkan satu bentuk ujian sebagai penanda aras, walau dengan apa cara (sistem) sekali pun.

"Pada saya, jika dimansuhkan kedua-dua peperiksaan itu, yang salahnya bukan peperiksaan tetapi cara ia (peperiksaan) dikendalikan. Bagaimanapun, kalau tidak ada peperiksaan langsung, itu tak boleh.

"Justeru, kita kena kaji adakah sistem peperiksaan yang ada sekarang ini boleh diganti dengan sistem yang lebih baik," katanya.

- Bernama

ADS