Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam hari ini menetapkan 1 Julai untuk pengurusan kes rayuan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang dikenakan hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.
Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Zainor Rashid Hassin membuat keputusan itu setelah dipohon oleh peguam Amli Embong yang mewakili Bung Moktar bagi membolehkannya menyediakan hujahan bertulis dan kronologi kes.
Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Bung Moktar, 51, kerana kesalahan berpoligami, tanpa kebenaran mahkamah, dengan pelakon Zizie Izette Abdul Samad, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam 16 Dis
tahun lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bung Moktar memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lalu dan memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syariah Zusyarafain Md Yusof.
Pada 19 Mei juga Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette kerana berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.
Beliau membayar denda itu.
- Bernama
