BERITA Malaysiakini

Hisham arah KDN bertindak ke atas Suara Keadilan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein meminta Ketua Setiausaha KDN supaya meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap akhbar Suara Keadilan kerana sering mengeluarkan berita yang tiada asas dan memfitnah.

NONE Katanya, KDN dan agensi berkaitan mesti peka dan mengambil tindakan bagi mengelakkan ia berterusan dan bagi menunjukkan bahawa hak bersuara dan membuat liputan tidak bermakna sesuatu media itu boleh berbuat apa saja.

"Hak bersuara mesti diimbangi. KDN mesti ambil tindakan. Kita dah bincangkan dengan Peguam Negara. Mereka kena tengok syarat-syarat KDN dan tanggungjawab mereka kepada pembaca dan orang ramai. Saya difahamkan kementerian dah panggil akhbar itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di Kulim hari ini.

Akhbar itu pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu menyiarkan berita utama di muka hadapan bertajuk ''Felda Bankrap'' dan empat lagi artikel berhubung isu itu dalam keluaran sama.

NONE Berikutan laporan itu, semalam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata Felda akan menyaman akhbar Suara Keadilan serta beberapa pemimpin pembangkang kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadap organisasi itu.

Pada 29 Disember tahun lalu, akhbar yang sama menyiarkan berita bertajuk ''Zambry Disyaki Pengganas - Gagal Masuk ke Amerika Syarikat'' yang mendakwa Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ditahan pihak Imigresen di Amerika Syarikat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco apabila nama beliau tersenarai dalam pangkalan data pengganas.

Zambry kemudian memfailkan saman fitnah RM100 juta kepada akhbar itu dan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR). Akhbar itu bagaimanapun membuat permohonan maaf kepada Zambry.

- Bernama