mk-logo
Berita
Khalid Ibrahim bercuti ke luar negara mulai esok

Tan Sri Khalid Ibrahim yang akan bercuti selama lima mulai esok, berkata kedudukan beliau sebagai menteri besar Selangor tanpa berkuasa dalam parti di peringkat negeri, merupakan satu "cara pentadbiran baru."

Bermula esok, Khalid akan ke Singapura bagi menghadiri Persidangan Bandar Sedunia esok dan seterusnya ke Brisbane, Australia untuk menghadiri satu sesi perbincangan dengan para graduan terpilih University of Queensland.

khalid ibrahim Katanya, penyusunan kuasa seperti ini juga bagi memastikan tiada konflik kepentingan di kalangan pentadbir kerajaan dan juga pemimpin parti.

"Ini satu pembaharuan, satu inovasi. Satu isu lagi ialah untuk mengelakkan konflik kepentingan. Seorang jaga negeri, seorang lagi jaga parti," katanya.

Ditanya lanjut, beliau berkata, perubahan seperti itu juga perlu bagi memastikan Pakatan Rakyat akan kekal memerintah Selangor.

"Pakatan akan membuat beberapa perubahan dari masa ke semasa tapi mensesuaikannya dengan keadaan.

"Untuk negeri Selangor, satu daripada perkara yang terpenting ialah selain daripada kita mentadbir dan menentukan pembangunan negeri, kita juga mesti memantapkan (sokongan politik) untuk menentukan pakatan rakyat akan terus memerintah di negeri Selangor," katanya.

Bercakap di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini, Khalid juga berkata media tidak perlu mencampuri urusan pelantikan akan penarikan jawatan pemimpin parti.

"Tak ada, itu you tak payah campur. Kita tak payah campur pihak tersebut. Ini pasal letak jawatan, terima jawatan, ini tak termasuk dalam agenda Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang ditimbulkan mengenai kedudukannnya sebagai menteri besar di Selangor.

"Yang termasuk dalam agenda Pakatan Rakyat dan PKR ialah memantapkan pertubuhan supaya kita membawa satu pembaharuan dalam pentadbiran negara dan akhirnya menjadi contoh bagaimana Malaysia akan diurus untuk masa depan," katanya lagi.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini