Najib: Cadangan makmal NKEA diterima kerajaan
Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, pada dasarnya semua cadangan mengenai makmal Bidang EKonomi Utama Negara (NKEA) akan diterima oleh kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, dalam hubungan ini, ia mungkin perlu ada penambahbaikan juga.
Najib yang berada di 12 makmal NKEA di Kelana Jaya untuk mengetahui perkembangan terbaru berkata, beliau amat tertarik bukan hanya dengan hasil makmal-makmal itu tetapi juga kerana minat dan komitmen mendalam yang ditunjukkan para peserta, yang terdiri daripada orang ramai dan sektor swasta.
"Daripada apa yang saya dapat lihat...saya fikir pada dasarnya semua cadangan anda akan diterima oleh kerajaan. Reaksi spontan saya ialah tugas itu telah dapat dilaksanakan dengan baik...satu kerja yang cemerlang,” katanya dalam ucapan kepada para peserta dalam lawatannya ke makmal-makmal itu di Akademi Malaysia Airlines.
Sebanyak 12 NKEA dikenal pasti sebagai asas dalam memastikan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) (2011-2015) meliputi minyak dan gas, minyak sawit dan produk berkaitan, perkhidmatan kewangan, runcit dan borong, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pendidikan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan perniagaan, penjagaan kesihatan swasta, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.
Pada masa ini, makmal ini mengkaji pelbagai idea besar projek pembangunan negara yang akan dilaksanakan oleh Malaysia.
Aktiviti ekonomi ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan NKEA adalah bidang keutamaan negara untuk peningkatan ekonomi.
Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri menjayakan makmal NKEA sepanjang tempoh 10 minggu dari Jun hingga Ogos.
Makmal itu membolehkannya mengenal pasti dan mengkaji daya maju perancangan dan inisiatif dalam setiap NKEA selain membangunkan pelan pelaksanaan bagi memenuhi sasaran yang ditetapkan.
Najib berkata, menjelang Ogos, segala cadangan makmal itu akan dibuka kepada orang ramai untuk mendapat maklum balas.
- Bernama

