BERITA Malaysiakini

Berjaya lapor keuntungan pracukai berganda

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Berjaya Corporation Bhd (BCorp) telah melaporkan keuntungan sebelum cukai lebih daripada berganda kepada RM613 juta untuk tahun kewangannya yang berakhir 30 April, 2010, daripada RM275 juta tahun sebelumnya.

    

NONE Pendapatan meningkat 6.9 peratus kepada RM6.8 bilion daripada RM6.3 bilion sebelumnya, kata kumpulan dalam satu kenyataan hari ini.

    

Kenaikan itu terutamanya disebabkan oleh sumbangan pendapatan yang tinggi daripada pemasaran pengguna, pembangunan hartanah, insurans am dan perniagaan broker saham, kata BCorp.

    

Untuk suku keempat berakhir 30 April, 2010, BCorp mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM299.2 juta daripada kerugian sebelum cukai RM37.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas sementara pendapatan naik 25 peratus kepada RM1.89 bilion daripada RM1.51 bilion sebelumnya.

    

Untuk tahun kewangan berakhir 30 April, 2010, BCorp membayar satu peratus dividen tunai satu tier dan 2.35 peratus "single-tier dividend-in-specie" saham-saham Berjaya Media Bhd, menjadikan jumlah pembayaran dividen 3.35 peratus sesaham.

    

BCorp berkata dengan pulihnya keadaan ekonomi, perniagaan pemasaran pengguna di bawah Cosway (M) Sdn Bhd dijangka terus menunjukkan penambahbaikan sementara perniagaan pertaruhan di bawah Berjaya Sports Toto Bhd akan terus berdaya tahan.

    

- Bernama